Monday, 28 April 2014

Fara Fauzana sedia untuk berhijab

Fara Fauzana mula berjinak-jinak bertudung.
KETIKA bertemu dengan penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana pada majlis kemuncak Kunci AM Krew di Berjaya Times Squre, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia tampil dengan berselendang.
Ternyata, penampilan Fara sudah pasti menarik perhatian sehingga menimbulkan pertanyaan segelintir pihak. Malah, peminat sudah mula menyedari tentang perubahan penampilannya itu ketika muncul dalam rancangan Nona pada minggu lalu.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Fara pada mulanya seperti keberatan untuk bercerita dan lebih gemar mengambil pendekatan berdiam diri kerana bimbang dengan persepsi orang ramai yang berbeza.
Mengakui dirinya masih belum lagi berhijab sepenuhnya sekarang ini, namun Fara tidak menafikan bahawa dia memang sudah ke arah untuk tampil dengan gaya seorang Muslimah.
Kosmo!: Boleh ceritakan tentang penampilan Fara sekarang ini?
FARA: Sebenarnya agak sukar dan tidak tahu untuk memberikan komen berhubung perkara ini. Tidak dinafikan saya sudah mula memakai selendang sejak bulan lalu tetapi belum berhijab sepenuhnya lagi.

Cuma, niat untuk berhijab itu sudah lama tertanam dalam diri dan memandangkan pada usia yang sudah mencecah 34 tahun, mungkin sudah tiba masanya untuk saya melakukan perubahan.
Bilakah anda bersedia untuk berhijab sepenuhnya?
Saya sendiri tidak tahu bila ia akan berlaku dan kini memang saya berasa selesa dengan berselendang tetapi kalau ada yang bertanya saya cuma cakap doakanlah yang terbaik untuk diri saya.
Kalau ada mana-mana pihak yang mahu mengkritik terhadap penampilan saya sekarang ini, saya memang tidak kisah kerana diri ini sudah lali dengan sebarang kritikan.
Adakah sebarang perubahan berlaku sejak anda mula berselendang?
Tidak dinafikan yang ia serba sedikit dapat mengubah karakter saya seperti percakapan dan perasaan. Misalnya, kini saya dapat mengawal kesabaran dan kemarahan saya. Selain itu, bos di tempat saya bekerja dan rakan-rakan penyampai juga banyak memberikan sokongan kepada saya terhadap perubahan ini.
Apakah komen anda sekiranya ada yang mengatakan perubahan ini disebabkan anda bakal mendirikan rumah tangga?
Sudah tentu ia merupakan perkara yang tidak benar kerana seperti yang saya katakan, memang sudah lama saya berniat untuk berhijab. Lagipun buat masa ini saya belum ada calon yang sesuai lagi, tidak menolak sekiranya jodoh itu datang dalam masa terdekat ini.
Adakah anda akan terus tampil berselendang ketika hadir atau menjayakan sesebuah sesebuah majlis?
Secara jujurnya saya akan terus kekal dengan penampilan sebegini, contohnya ketika muncul dalam rancangan Nona. Namun begitu, saya tidaklah mempunyai banyak koleksi selendang sekarang ini.
Bagaimanakah dengan pandangan anda setelah Fizie menyertai anda dan AG dalam segmen Hot FM AM Krew sejak Februari lalu?
Saya sudah melihat banyak peningkatan yang berlaku terhadap dirinya dan beranggapan bahawa pemilihannya untuk bergandingan dengan saya dan AG merupakan satu langkah yang tepat. Kalau diikutkan bukan mudah untuk mengendalikan segmen ini dan pada peringkat awal memang sukar mencari keserasian tetapi Fizie seorang yang cepat belajar. Namun begitu, saya ada berpesan kepadanya supaya bersedia dan bersikap lebih terbuka menerima sebarang teguran dan kritikan daripada pendengar.-kosmo

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib