Monday, 7 April 2014

FAM: Ahmad Said berang diminta diam

Ahmad Said pertahan kenyataan mengkritik FAM.
“Itu hak saya,” demikian tegas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang berang terhadap reaksi FAM mempersoalkan tindakannya menegur badan induk itu menangani isu Terowong Larkin antara T-Team dengan Johor Darul Ta'zim (Johor DT), baru-baru ini.
Katanya, sebagai peminat bola sepak nombor satu Terengganu, beliau mempunyai hak bersuara apabila membabitkan pasukan negeri itu contohnya berkaitan kes berkenaan.

“Apa demokrasi diamalkan FAM sehingga tidak boleh ditegur apabila dilihat tidak mampu menangani sesuatu isu termasuk insiden Terowong Larkin? FAM juga hak rakyat Malaysia dan orang ramai nak tahu juga apa perkembangan, apa kebaikan dia. FAM bukan badan eksklusif. “Benda salah, salahlah, apa susah. Terserah kepada FAM yang membuat keputusan dan rakyat nilailah,” katanya selepas merasmikan Projek Perintis Terengganu Open Wi-Fi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), semalam.
Arena Metro 4 April lalu melaporkan reaksi Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abd Razak yang tidak puas hati dengan tindakan Ahmad mendesak ahli jawatankuasa itu melepaskan jawatan kerana tidak berani membuat keputusan berhubung insiden Terowong Larkin.
Taufek berkata, kenyataan Ahmad itu keterlaluan kerana pihaknya sedia membicarakan kes mana-mana individu sekalipun, lebih-lebih lagi Menteri Besar itu bukannya Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, beliau juga berhak membuat teguran berhubung keputusan insiden itu kerana FAM dan Jawatankuasa Tatatertib perlu tahu yang menanggung perbelanjaan persatuan bola sepak negeri itu adalah kerajaan negeri.
“Jika kerajaan negeri tak bagi duit (kepada PBSNT) dan mengharapkan bantuan daripada FAM saja, tak mampu pun nak bayar gaji (pemain, jurulatih dan pengurusan). “Oleh itu, apabila kerajaan negeri keluar belanja, saya bertindak bagi pihak kerajaan (negeri). Adakah saya tak berhak berkata-kata. Adakah FAM mampu beri sumbangan mencukupi kepada persatuan bola sepak negeri,” katanya.
Selanjutnya, Ahmad menegaskan sikap FAM yang tidak boleh ditegur juga menyebabkan mutu bola sepak negara semakin merosot termasuk di peringkat antarabangsa.
“Dulu, Korea (Selatan) dan Jepun sama taraf (permainan) dengan kita di Pestabola Merdeka. Sekarang Korea dan Jepun sudah menjejak kaki ke Piala Dunia, tapi Malaysia masih terkial-kial,” katanya.-Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib