Sunday, 6 April 2014

AirAsia Mohon Maaf Artikel ‘Sindir’ Kehilangan MH370

Iklan Air Asia yang menyindir Tragedi MH370
Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia membuat permohonan maaf atas sebuah artikel yang diterbitkan dalam majalah penerbangannya, ’3sixty’ edisi April, yang seolah-olah menyindir insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370.
Dua baris ayat terakhir dalam artikel tersebut berbunyi:
“Training and Preparation – Pilot training in AirAsia is continuous and very thorough. (Latihan dan Persediaan – Latihan juruterbang di AirAsia adalah berterusan dan sangat teliti)
“Rest assured that your captain is well prepared to ensure your plane will never get lost. Have a safe flight (Yakinlah bahawa kapten anda sangat bersedia untuk memastikan pesawat yang anda naiki tidak akan hilang. Semoga selamat).”
Permohonan maaf itu dinyatakan oleh Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun yang turut menjelaskan bahawa artikel tersebut telah dicetak sebelum berlakunya insiden tersebut.
Ia merupakan tulisan di kolum bulanan yang ditulis oleh Kapten Lim Khoy Hing, juruterbang bersara yang pernah bekerja dengan syarikat itu dan juga MAS.
Sebagai penyumbang bulanan, Kapten Lim telah menyediakan artikel-artikelnya beberapa bulan lebih awal sebelum majalah tersebut dicetak.
Kamarudin yang juga penerbit majalah itu bagaimanapun berjanji akan memastikan edisi tersebut akan dikeluarkan dari semua penerbangan AirAsia secepat mungkin.
“Tindakan disiplin juga akan diambil terhadap kumpulan editorial.
” Ini merupakan masa yang sukar untuk negara dan tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan peribadi saya terhadap insiden ini.
” Menyedihkan apabila artikel ini diterbitkan pada waktu yang tidak sesuai,”jelasnya.
Majalah  tersebut diedarkan kurang dari sebulan selepas kehilangan pesawat MH370 dari radar pada 8 Mac lalu dan dipercayai ‘berakhir’ di selatan Lautan Hindi.-MYNEWSHUB.MY

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib