Tuesday, 1 April 2014

Agensi pelancongan tangguh lima kali ibadat umrah tanpa sebab

MOHD Azhar (kanan) bersama rakan yang terpaksa melupakan niat mereka apabila perjalanan ke Tanah Suci dibatalkan pada saat akhir oleh ejen pelancongan.
“Saya tidak sangka niat kami ke Tanah Suci dipermainkan individu tidak bertanggungjawab sehingga saya malu ke pejabat,” kata Mohd Azhar Zambri, seorang bakal jemaah umrah yang mendakwa ditipu agensi pelancongan di Bukit Jati, di sini, kelmarin.
Mohd Azhar, 31, berkata, kumpulannya itu terdiri daripada 39 anggota persatuan pekerja sebuah syarikat swasta termasuk enam kanak-kanak mahu menunaikan ibadat umrah, namun perjalanan ke Tanah Suci ditangguh lima kali tanpa sebab munasabah oleh sebuah agensi pelancongan.
Dia berkata, sepatutnya rombongan itu dijadualkan bertolak pada 16 Mac lalu, tetapi dibatalkan dengan alasan ada jemaah gagal memperoleh visa daripada Kedutaan Arab Saudi sebelum ditunda ke 18 Mac.

Menurutnya, selepas tarikh itu, agensi yang bertanggungjawab menguruskan rombongan memberi tarikh baru pada 22 Mac namun sekali lagi mereka terpedaya kerana ditunda kali ketiga dengan alasan penerbangan balik penuh.
“Selepas perjalanan kali ketiga tertunda, agensi itu sekali lagi memberi tarikh baru pada 27 Mac tetapi pada jam 12 tengah malam, seorang lelaki mengaku sebagai wakil agensi bernama Ustaz Zul memaklumkan ia ditangguhkan lagi kerana masalah penerbangan.
“Tidak tahan kerana dipermainkan, kami meminta wakil persatuan menelefon ustaz berkenaan untuk meminta perjelasan. 

“Ustaz itu kemudian menetapkan tarikh baru iaitu Sabtu lalu termasuk memberi jadual perjalanan dengan kami meminta berkumpul di surau pada jam 12 tengah hari, tetapi sebaik tiba, kami sekali lagi diberitahu perjalanan dibatalkan,” katanya ketika ditemui di Surau Islamiyah di Bukit Jati, di sini, kelmarin.

Azhar berkata, alasan diberikan dianggap tidak munasabah kerana ustaz itu memberitahu penerbangan dibatalkan dalam tempoh tidak sampai 24 jam disebabkan jumlah penumpang tidak ramai. 

“Ustaz itu juga mengugut kami supaya jangan menghubungi Kedutaan Arab Saudi untuk membuat semakan jika tidak dia membatalkan program itu,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Hajar Osman, 56, berkata, dia terkilan kerana niat menunaikan umrah kali pertama tertunda beberapa kali.

“Tergamak dia menipu kami sedangkan kami hendak pergi ke Tanah Suci untuk ibadat. Dengan duit simpanan yang ada, saya buat bayaran bersama anak, tetapi malangnya tiada rezeki kami ke sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan anggotanya kini menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.-Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib