Sunday, 23 March 2014

Waspada! Taktik peragut tunggu mangsa di luar lif

Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki berbaju biru dan putih sedia menunggu untuk meragut.
Dua lelaki sanggup menunggu di luar lif hampir sepanjang malam semata-mata untuk meragut wanita yang berusia lingkungan 50-an.
Taktik lelaki berkenaan diketahui melalui sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kawasan perumahan di sini.
Melalui rakaman berkenaan, dua lelaki itu menunggu di lif rumah pangsa antara jam 8 malam sehingga ke jam 12 tengah malam.
Penduduk, Wong Mun Chai, 56, berkata, dia sendiri menyaksikan kejadian terbabit yang berlaku di dalam sebuah lif di perumahannya.
Menurutnya, pada mulanya, ketiga-tiga penduduk yang berada di dalam lif menyangka dua lelaki terbabit adalah penduduk di perumahan yang sama.
“Namun secara tiba-tiba mereka menarik beg dan juga barang mangsa sedangkan kesemua masih berada dalam lif, saya dapat rasakan lelaki ini sangat bahaya kerana mereka sanggup buat kerja yang teruk itu walaupun ada orang lain dalam lif.
“Nasib baik kami semua dapat cam wajah peragut berkenaan kerana adanya CCTV yang dipasang pihak pengurusan perumahan,” katanya kepada Sinar Harian.
Tinjauan mendapati keadaan lorong di tingkat bawah agak sunyi memudahkan peragut berkenaan untuk datang lagi mencari mangsa lain.
Namun pihak pengurusan perumahan mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan dua pengawal dari Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di hadapan lif bagi mengawasi pergerakan penduduk.
Penduduk, Siti Aishah Samsuddin, 28, berkata, dengan adanya dua anggota Rela berkenaan pada setiap malam, dia dan ahli keluarga yang lain berasa selamat.
Katanya, dia lebih bimbang kerana hampir setiap malam dia akan pulang lewat ke rumah kerana bekerja pada waktu malam.
“Memang dari dulu saya rasa seperti ada orang ikut saya dari belakang ketika balik dari kerja tetapi saya fikir yang baik sahaja kerana pengawal keselamatan pun ada berkawal selama 24 jam.
“Tetapi tidak sangka pencuri ini berani sehingga sampai menunggu mangsa terutama wanita di lif, jika mereka hanya mencuri tidak mengapa lagi tetapi kami bimbang kalau mereka juga bawa pisau,” katanya.-sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib