Friday, 28 March 2014

Tiada arahan bendera separuh tiang di Terengganu

Ahmad (empat kanan) mendengar penerangan mengenai operasi II OGTC di Instep Batu Rakit
Kerajaan negeri tidak bercadang mengikut langkah beberapa negeri lain yang mengibarkan bendera separuh tiang bagi menghormati tragedi MH370 memandangkan keadaan sebenar mengenai kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) itu masih belum jelas.

Sebaliknya, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meminta agar semua pihak di negeri ini meneruskan solat hajat bagi meminta petunjuk daripada ALLAH SWT dan mempermudah operasi mencari serta menyelamat pesawat yang hilang sejak 8 Mac itu.

“Buat masa ini kita belum mengeluarkan arahan (untuk kibar bendera separuh tiang) kerana sehingga kini kita tidak tahu keadaan sebenar, malah Majlis Fatwa Kebangsaan juga memutuskan solat jenazah ghaib untuk mangsa terlibat tidak perlu buat masa ini.

“Bagaimanapun, kita sangat mengalu-alukan semua pihak untuk meneruskan solat hajat di tempat masing-masing supaya misi pencarian pesawat milik MAS itu dijumpai segera,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pusat Latihan Minyak dan Gas Bersepadu Instep (IIOGTC) di Batu Rakit, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah beberapa negeri antaranya Pahang, Johor dan Perak yang menaikkan bendera separuh tiang sebagai tanda simpati dan dukacita mengenai tragedi yang menimpa pesawat MH370.

Selain Terengganu, Kedah turut mengambil pendirian sama untuk tidak mengibarkan bendera separuh tiang bagi menghormati anggota keluarga yang masih menaruh harapan agar penumpang dan anak kapal penerbangan itu pulang dengan selamat.

Sebelum ini, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Fatwa Kebangsaan 25 Mac lalu menetapkan pelaksanaan solat jenazah ghaib untuk penumpang dan anak kapal penerbangan MH370 tidak perlu diadakan.

Jawatankuasa itu memutuskan bahawa kesemua  anak kapal dan penumpang MH370 dikategorikan sebagai orang hilang (mafqud) hingga usaha mencari dimuktamadkan.

Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Penerbangan yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lalu menuju Beijing, hilang daripada radar sejam kemudian.-Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib