Monday, 31 March 2014

Terengganu tamat kontrak pemain import Marcio Souza

Marcio Souza (kanan) ditamatkan kontrak kerana pamer aksi mengecewakan.
TERENGGANU mengambil langkah drastik apabila menamatkan kontrak pemain import Marcio Souza Da Silva dari Brazil ketika kempen Liga Super sedang rancak berjalan.
    
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman berkata penamatan kontrak pemain itu dibuat berikutan pihak pengurusan tidak berpuas hati dengan ketumpulan penyudahnya.
    
"Oleh kerana dia tidak mempamerkan aksi yang kita mahukan, maka kita akan cari pemain lain bagi mengisi posisi yang ditinggalkannya. Lagipun kita kekurangan penyerang import berbisa dan sudah pasti kita akan mencari seorang penyerang baharu yang lebih berkualiti dari segi penyudah," katanya kepada Bernama hari ini.
    
Sehubungan itu menurut Arpin, pihaknya akan menguji beberapa pemain import asing termasuk bekas penyerang pasukan Beijing Baxy F.C iaitu Stephen Ayodele Makinwa, pemain kelahiran Nigeria.
    
Beliau berkata pemain import baharu yang akan dipilih kelak mungkin akan diturunkan beraksi awal April ini.
       
Dalam pada itu, pengendali skuad Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim berkata beliau merasa rungsing kerana persembahan pasukannya masih belum mantap dan mempunyai beberapa kelemahan.
    
Justeru bagi mengelak Terengganu daripada terus menunjukkan lebih banyak kelemahan, katanya mereka perlu menunjukkan permainan yang lebih positif dengan gerakan menarik untuk membuat kejutan gol atau membolosi benteng pertahanan lawan.
    
Beliau berkata anak buahnya mudah hilang fokus di saat-saat akhir permainan. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib