Wednesday, 26 March 2014

Semua pihak perlu terima kenyataan Tragedi MH370

Semua pihak perlu redha dengan Tragedi MH370 yang mungkin ada hikmahnya.
SYARIKAT Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) meminta para ahli keluarga dan orang ramai menerima kenyataan pahit bahawa mereka telah kehilangan pesawat MH370 dan kesemua penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan telah meninggal dunia.
Pengerusi MAS Tan Sri Md Nor Md Yusof berkata ia adalah satu tragedi yang begitu menyedihkan kepada syarikat penerbangan itu.
“Dengan misi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan usaha pelbagai negara di kawasan seluas 2.24 juta batu persegi, ia jelas satu perkembangan yang amat pahit bagi ahli keluarga para penumpang pesawat berkenaan.
“Mereka telah menunggu selama dua minggu untuk satu harapan biarpun tipis agar ahli keluarga mereka selamat,” katanya dalam satu kenyataan rasmi MAS hari ini.
Menurut Md Nor, ia adalah satu kejadian yang tidak pernah berlaku seumpamanya sebelum ini dan siasatan akan terus dijalankan biarpun berapa lama masa ia akan berjalan semenjak hari kejadian pada 8 Mac lepas.
“Kita akan terus memberi sokongan moral kepada keluarga penumpang, seperti mana yang kita lakukan sejak mula kejadian ini berlaku.
“Pihak MAS juga akan menyokong dan memberikan kerjasama kepada para penyiasat yang ketika ini mencari jawapan untuk merungkai misteri MH370,” katanya.
Pesawat MH370 hilang sejak 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China.
Menerusi radar pesawat berkenaan diketahui telah berpusing balik ke arah Selat Melaka sebelum hilang dari radar pada kira-kira pukul 8.11 pagi.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan hasil analisis satelit, pesawat MH370 telah disahkan kali terakhir berada di selatan Lautan Hindi.
Beliau juga mengumumkan dalam sidang media khas, pesawat itu telah mengakhiri penerbangannya di kawasan lautan terpencil berkenaan. – MYNEWSHUB.MY

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib