Saturday, 22 March 2014

Pura-Pura Tunai Solat Untuk ‘Kail’ Wang Tabung Masjid

Lelaki disyaki penagih dadah ditahan orang ramai.
Demi dapatkan wang mudah, seorang mat gian sanggup berpura-pura hendak dirikan solat semata-mata ingin mengaburi mata orang ramai sebelum mencuri wang tabung Masjid Kubang Ikan, Chendering Rabu lalu.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, lakonan suspek, 31, dari Kampung Ladang Sekolah, di sini, yang tergamak mencemari kesucian masjid itu tidak menjadi apabila dicekup beberapa penduduk kampung ketika sedang asyik mengail wang dalam tabung masjid itu.
Menurut sumber, kehadi-ran suspek di kawasan masjid itu disedari tukang cuci wanita yang kemudiannya bertanyakan tujuan suspek berada dalam masjid waktu berkenaan.
Jelasnya lagi, melihatkan keadaan suspek yang agak mencurigakan itu, wanita terbabit memberanikan diri bertanyakan sama ada suspek bertanggungjawab di sebalik kehilangan duit di dalam tabung masjid yang kerap berlaku sebelum ini.
“Bagaimanapun, suspek menafikan dia melakukan jenayah terbabit dengan memberi alasan mahu menunaikan solat saja sebelum tukang cuci itu meninggalkan suspek bersendirian.
“Difahamkan, kejadian curi duit tabung masjid kerap berlaku dan penduduk kampung sememangnya mengesyaki ia mempunyai kaitan dengan suspek tetapi tidak mahu menuduh kerana tidak mempunyai bukti.
“Curiga dengan kehadiran suspek, wanita itu memaklumkan kejadian itu kepada suaminya yang juga Imam masjid berkenaan sebelum suaminya bersama beberapa penduduk kampung bertindak mengepung masjid bagi mendedahkan perbuatan tidak bermoral suspek,” katanya.
Sumber berkata, sebaik sampai di masjid, suspek sedang mengorek duit tabung masjid dengan cara mengail menggunakan dawai yang dilekatkan gula-gula getah di bahagian hujungnya.
Katanya, ketika itu, suspek yang asyik menarik duit di dalam tabung itu tidak menyedari segala perbuatannya diperhatikan penduduk kampung yang hanya menunggu masa untuk menahannya.
“Sebaik menyedari kehadiran penduduk kampung, suspek cuba melarikan diri tetapi gagal memandangkan kawasan masjid itu sudah dikepung dan hasil pemeriksaan menemui wang sebanyak RM61 di dalam poket seluarnya dipercayai duit daripada tabung masjid.
“Suspek yang turut mengalami luka di badan akibat dibelasah penduduk kampung yang berang dengan tindakan suspek itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.-Sinar harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib