Tuesday, 11 March 2014

Pesawat MH370 diselenggara 10 hari sebelum kejadian

Pesawat MH370 masih gagal dikesan.
Pesawat Boeing 777-200 yang mengendalikan penerbangan MH370 diselenggara 10 hari sebelum dilapor hilang pada awal Sabtu dan tiada sebarang masalah dikesan pada pesawat ketika itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS), Ahmad Jauhari Yahya berkata, pesawat itu menjalani penyelenggaraan di hangar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Februari lepas dan penyelenggaraan seterusnya dijadualkan 19 Jun ini.

Sejak diterima pada 2002, pesawat itu sudah merekodkan penerbangan selama 53,465.21 jam dengan keseluruhan 7,525 kitaran, katanya dalam kenyataan, di sini  hari ini.

Beliau juga berkata, semua pesawat MAS dilengkapi dengan sistem pemantauan data yang berterusan dikenali 'Aircraft Communication Addressing and Reporting System' (ACARS) yang menghantar data secara automatik.

"Apapun memang tidak ada maklumat atau panggilan kecemasan dihantar," katanya.

Menurut Ahmad Jauhari, operasi mencari dan menyelamat setakat awal hari keempat hari ini tidak menemukan sebarang kesan pesawat itu dan operasi sudah diperluas ke barat Semenanjung Malaysia, melangkaui laluan sebenar pesawat.

Katanya operasi pencarian meliputi laut dan darat memandangkan pihak berkuasa turut mengambil kira kemungkinan pesawat berpatah balik ke lapangan terbang.

"Semua sudut diteliti. Kita tidak menolak sebarang kemungkinan," katanya.

Beliau berkata, Wakil Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting kini berada di Beijing bagi membantu dan mengkoordinasi semua perkara berkaitan operasi MAS.

Penerbangan Kuala Lumpur-Beijing itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dilapor hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi.

Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib