Monday, 24 March 2014

Pencarian pesawat MH370: Misi Tak Mengaku Kalah

Misi mencari pesawat MH370 diteruskan.
Lt. Erica Ross, komander pesawat P-3 Orion milik tentera laut Amerika Syarikat dan pegawai tentera laut Francis Enriquez tetap bersemangat tinggi sekalipun sudah melakukan penerbangan selama 75 jam tanpa sebarang hasil yang dapat membantu penemuan pesawat Malaysia Airlines (MAS).
“Kami tidak temui apa-apa hari ini. Kami akan sambung esok,” kata Ross bersahaja.
“Tidak ada tempoh masa ditetapkan. Kami akan berada di sini selagi kami diperlukan,” kata Enriquez pula tanpa menunjukkan sebarang tanda bosan.
Mereka berdua ialah antara 11 kru P-3 Orion yang menyertai operasi yang boleh dianggap sebagai ‘misi tidak mengaku kalah’.
Mereka membantu Malaysia mencari pesawat MAS Boeing 777-200ER yang hilang bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas.
Usaha mengesan pesawat dilakukan di Laut China Selatan sebelum diperluas ke sebahagian besar perairan di barat Semenanjung Malaysia termasuk Lautan Hindi, apabila ada penemuan menunjukkan pesawat mengubah haluan selepas sistem komunikasinya dimatikan secara sengaja oleh pihak tertentu di dalam pesawat tersebut dan pesawat terbang selama tujuh jam selepas itu.
Pencarian kemudian ditumpukan kepada dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Penulis menaiki P-3 Orion pada Sabtu, dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang ke selatan Lautan Hindi berhampiran Kepulauan Cocos dan Krismas, penerbangan yang mengambil masa tujuh jam untuk pergi dan balik.
Tiga jam dihabiskan untuk meninjau sukuan yang ditetapkan bagi pesawat itu di kawasan carian seluas 25,000 batu nautika persegi, untuk mengesan sebarang petunjuk yang dapat dikaitkan dengan MH370.
Sepanjang tiga jam itu Enriquez, pegawai udara kelas pertama dari pangkalan tentera laut AS di Okinawa, Jepun, terpaku di hadapan skrin lima buah radar.
Beliau memantau skrin itu yang berupaya menyalurkan paparan ke kamera pemantauan dalam pesawat.
Enriquez juga memantau skrin graf yang akan menunjukkan sebarang anomali elektromagnetik yang dikesan oleh peranti pengesan logam yang terletak di bahagian ekor pesawat tersebut.
Katanya peranti itu berupaya mengesan logam di atas dan di bawah permukaan laut.
Itulah tugas beliau dalam setiap penerbangan sejak 9 Mac, sehari selepas penerbangan MH370 hilang.
“Kami datang ke sini untuk membantu kerajaan Malaysia mencari MH370,” katanya.
Penerbangan pada Sabtu itu merupakan yang ketujuh bagi pesawat P-3 Orion berkenaan.
Ross berkata 90 peratus masa penerbangannya adalah dengan anak kapal yang sama.
“Kami mempunyai anak kapal yang bagus,” kata wanita itu.
Sekalipun tidak menemui apa-apa, Ross dan Enriquez tidak berputus asa. Esok mereka akan meneruskan operasi dengan harapan yang baharu. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib