Monday, 24 March 2014

Patrich Wanggai dakwa pengadil keluarkan kata kesat

Patrich Wanggai ditenangkan Fabio Flor.
INSIDEN pengadil mengeluarkan kata-kata kesat ketika mengadili perlawanan terus berlaku dan terbaharu penyerang import, T-Team, Patrich Wanggai mendakwa dia dihambur dengan perkataan tidak sepatutnya pada aksi Liga Super menentang Perak di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, malam kelmarin.

Sebelum ini, situasi sama turut berlaku dalam pertemuan antara Sarawak dan Perak apabila Joseph Kalang Tie mendakwa pengadil perlawanan, Sukri Abdul Rahman mengeluarkan kata-kata lucah  terhadapnya.

Kelmarin, penyerang kelahiran Papua, Patrich Wanggai melahirkan perasaan kesal apabila pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin didakwa bersikap biadap dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.

Menurutnya, dia cukup marah dengan sikap pengadil terbabit yang tergamak mengeluarkan perkataan sedemikian dan menyifatkan Mohammad Zamzaidi tidak ada hak mengutuknya sedemikian rupa.

“Apa salah saya sehingga  dia (pengadil)  menghemburkan kata-kata kesat kepada saya pada perlawanan itu. Bukan hak dia untuk memaki saya sungguhpun saya ada melakukan kesilapan.

Wanggai dakwa pengadil keluarkan kata kesat.
“Sekiranya dia marah kerana saya banyak pertikaikan keputusan yang dibuat dalam perlawanan itu, dia tidak sepatutnya mengutuk saya dengan perkataan kurang sopan,” katanya ditemui selepas perlawanan.


Dalam pada itu, Wanggai mengakui ia bukan kali pertama dia dihembur kata-kata kesat oleh pegawai perlawanan di negara ini malah, pernah berdepan dengan perkara sama di awal musim ketika beliau bermain dalam perlawanan persahabatan, namun tidak mahu memperbesarkannya.

“Bagaimanapun, kali ini saya tidak mampu menahan sabar lagi. Bagi saya, sebagai pengadil perlawanan dia sepatutnya berlaku adil kepada kedua-dua pihak,” katanya.

“Saya tidak akan berdiam diri lagi kerana ini adalah maruah saya dan saya sudah melaporkan perkara ini kepada pihak pengurusan T-Team untuk membawa kes ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd Zain, mengesahkan pihaknya menerima aduan lisan daripada Patrich Wanggai yang mendakwa pegawai perlawanan terbabit mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya.

“Buat masa sekarang kita belum membuat sebarang keputusan dan tindakan selanjutnya akan dibuat selepas perbincangan dengan pihak pengurusan,” katanya.-Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib