Sunday, 30 March 2014

Pahang rampas takhta Liga Super, Terengganu seri dengan Kelantan

Perlawanan Pahang vs Perak.
Pasukan Pahang merampas kedudukan teratas Liga Super daripada Terengganu selepas menang 2-0 ke atas Perak di Stadium Darul Makmur malam ini.

Dua gol menerusi Dickson Nwakaeme pada minit ke-10 dan R. Gopinathan (36') membolehkan skuad 'Tok Gajah' kendalian Zainal Abidin Hassan mengutip 19 mata selepas mengharungi 10 perlawanan.

Terengganu pula turun ke tangga kedua liga selepas sekadar terikat 1-1 ketika berdepan jiran mereka, Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pemain import dari Mesir, Mohamed Shawky Yazid meletakkan Kelantan di depan pada minit ke-15 sebelum Zairo Anuar Zailani menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-35.

Sime Darby FC turut meraih tiga mata selepas mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.   

Tiga gol pasukan tuan rumah dijaring oleh Mohd Arif Ismail pada minit ke-29, William Mensah (59') dan Mahmoud Al Amna (64') manakala dua gol ATM disumbang oleh Bruno Sebastian Martelotto menerusi sepakan penalti pada minit ke-10 dan Juan Manuel Arostegui (53').


Terengganu vs Kelantan.
Terdahulu, kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas melakukan kekasaran ke atas pemain lawan.

Pemain sayap ATM, Christie Jayaseelan dilayang kad merah selepas mengasari Mohd Arif pada minit ke-50 manakala pemain import Sime Darby FC, Dilshod Sharofetdinov diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit-minit terakhir perlawanan.

Pertembungan 'adik abang' antara Selangor dan Selangor PKNS FC di Stadium Shah Alam pula menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Dua gol Selangor dijaring oleh Helmi Remeli pada minit ke-18 (gol sendiri) dan pemain gantian Afiq Azmi (74') manakala Mohd Aminuddin Mohd Noor menghasilkan jaringan untuk pasukan pelawat pada minit ke-22 dan 72'.

Terdahulu, Selangor PKNS FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhammad Nazmi Faiz Mansor diperintah keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua pada minit ke-67.

Dua lagi perlawanan Liga Super berakhir dengan keputusan seri 1-1 membabitkan pasukan Lions XII dan T-Team di Stadium Jalan Besar, Singapura serta Johor Darul Ta'zim dan Sarawak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib