Tuesday, 25 March 2014

Keluarga penumpang MH370 redha dengan ketentuan Ilahi

Mangsa tragedi MH370 Norli Akmar Hamid, 33, dan Mohd Razahan Zamani, 29,  yang baru berkahwin setahun yang lalu dalam perjalanan untuk bercuti.
‘Redha’, hanya itulah ungkapan yang mampu diluah beberapa anggota keluarga penumpang pesawat dengan perkhabaran terbaharu berhubung nasib pesawat MH370, yang diumum berakhir di selatan Lautan Hindi, selepas hilang sejak 8 Mac lepas.
Zamani Zakaria, 56, bapa kepada Razahan, 23, berkata beliau menerima berita itu sebagai ketentuan Ilahi setelah lebih dua minggu operasi mencari dan menyelamat dilakukan.
“Pencarian ini telah berakhir dan kita tidak lagi perlu menunggu dan ternanti-nanti kerana penantian suatu penyeksaan,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Zamani kehilangan anak serta menantunya, Norli Akmar Hamid, 33, yang dalam perjalanan untuk berbulan madu di Beijing, China.
Selamat Omar, 60, bapa kepada Mohd Khairul Amri, 29, juga berkata beliau menerima berita itu dengan hati yang redha dan terbuka.
“Seperti yang saya beritahu di peringkat awal, saya terima apa sahaja ketentuan, ringkasnya saya redha dengan apa yang telah ditentukan,” katanya.
Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.
Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi keluarga anak kapal MH370 di Hotel Marriot di sini gagal kerana pihak keselamatan meminta wartawan meninggalkan kawasan lobi.
Difahamkan anggota keluarga anak kapal terbabit dipanggil ke satu bilik khas untuk mendengar taklimat pihak MAS.– BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib