Monday, 24 March 2014

Janda anak lima dipenjara 3 minggu kes khalwat dengan suami orang

Pasangan ini dihadapkan ke mahkamah.
Seorang janda anak lima dan pasangannya berstatus suami orang, masing-masing dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM5,300 dan tiga minggu penjara, semalam, selepas mengaku bersalah atas tuduhan khalwat dan cubaan melakukan persetubuhan. 
Mat Daling Abu Bakar, 49, yang mempunyai seorang isteri dan pasangannya, Sisunormala Kadri @ Deraman, 34, dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini. 
Kedua-dua mereka mengaku bersalah di hadapan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail, selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan Seksyen 31(a) enakmen sama. 
Mat Daling dari Kuala Ibai yang bekerja sebagai tukang rumah dan Sisunormala, pembantu kedai makan yang tinggal di Kampung Tanjung, di sini, turut berdepan hukuman penjara keseluruhan 10 bulan lagi jika gagal menjelaskan denda. 

Mengikut fakta kes, Mat Daling dan Sisunormala ditahan kali pertama di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Sultan Ismail, di sini, jam 2.20 pagi pada 1 Januari lalu, sebelum sekali lagi ditahan di rumah Mat Daling di Kuala Ibai, jam 1 pagi pada 2 Januari lalu. 

Ketika serbuan di bilik hotel berkenaan susulan aduan orang awam kepada penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Daling hanya berkain pelekat tanpa pakaian, manakala Sisunormala hanya berkain batik sambil berbaring di atas katil dalam bilik itu. 

Hasil siasatan mendapati pasangan itu tidak mempunyai hubungan suami isteri. Dengan itu mereka didapati bersalah mengikut Seksyen 29 iaitu perbuatan persediaan untuk persetubuhan luar nikah dan dikenakan hukuman denda masing-masing RM2,800 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda. 
Dalam serbuan kedua pada 2 Januari di rumah tertuduh lelaki di Kuala Ibai, Sisunormala didapati bersama Mat Daling duduk di ruang tamu, manakala dua kanak-kanak iaitu anak seorang rakan wanita mereka yang turut berada di dalam rumah itu, sedang tidur di dalam bilik rumah berkenaan. 

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) kerana melakukan khalwat dan dikenakan hukuman denda RM2,500 serta tiga minggu penjara setiap seorang, dengan tambahan empat bulan penjara jika gagal membayar denda. 

Kamalruazmi ketika membacakan penghakimannya berkata, mahkamah kesal dengan sikap kedua-dua tertuduh yang tidak insaf dan mengulangi perbuatan sama hanya dalam tempoh 24 jam. 

"Kamu tahu perbuatan kamu berdosa besar, malah kamu sudah ditangkap pada 1 Januari, tetapi tidak insaf dan tidak serik apabila mengulangi perbuatan sama keesokan harinya. 

"Mahkamah menganggap kes kamu ini yang paling serius kerana membabitkan dua kejadian dan dua kesalahan dalam tempoh singkat. Malah, kamu turut membabitkan kanak-kanak yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa. 

"Mula-mula ditangkap di hotel, selepas itu di rumah pula. Dalam kedua-dua tangkapan ini, kamu tidak langsung ada muhasabah dan mengambil pengajaran. Oleh itu mahkamah memutuskan hukuman berat untuk kamu," katanya.-Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib