Friday, 28 March 2014

Empat lelaki rompak kedai telefon bimbit

Kedua-dua mangsa diikat.
“Diam, kalau bising aku bunuh!” demikian gertak empat perompak bersenjata parang kepada dua jurujual wanita ketika menyamun sebuah kedai telefon berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bandi, di sini, kira-kira jam 1.10 tengah hari kelmarin.

Tersentak dengan ugutan itu, mangsa, Noor Nabilla Mohamad, 23, berkata, ketika kejadian dia hanya terbayang akan menemui ajal di mata parang yang dipegang salah seorang kumpulan lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 23 hingga 25 tahun.

Katanya, sejurus keempat-empat suspek meluru masuk ke dalam kedai, dia dan rakan sekerjanya, Rasyidah Mohamad, 18, ditolak masuk ke dalam stor oleh salah seorang perompak sebelum diikat kaki dan tangan.

“Perompak itu ikat tangan kami berdua menggunakan tali nilon yang dibawa mereka sementara kaki kami pula diikat dengan kain langsir pintu stor kedai. Waktu itu kami yang menggeletar ketakutan hanya mampu lihat dua lagi perompak sibuk memasukkan kira-kira 30 unit telefon bimbit pelbagai jenama yang dipamerkan dalam almari kaca ke dalam beg tangan saya yang saya letakkan di tepi almari itu.

“Wang hasil jualan di dalam mesin juruwang turut diambil mereka,” kata anak ke-10 daripada 12 beradik ini ketika ditemui di kedai itu yang merupakan kedai milik abang sulungnya, Rosli Mohamad, 40.

Menurutnya, seorang lagi suspek tidak masuk ke dalam kaunter sebaliknya menunggu di hadapan almari kaca.

Kata Noor Nabilla, kejadian itu berlaku dalam tempoh tidak sampai tiga minit sebelum kesemua empat lelaki itu yang tidak bertopeng dan tidak memakai sarung tangan keluar dari kedai dan masuk ke dalam sebuah Proton Persona berwarna perak, dengan seorang lagi lelaki menunggu dalam kereta menjadikan kesemua perompak berjumlah lima orang.

“Sebenarnya sebelum merompak, salah seorang suspek telah masuk ke dalam kedai dan pura-pura membeli kad tambah nilai. Lepas dia keluar rakannya yang lain pula masuk dan turut mahu beli kad tambah nilai.

“Setelah lelaki kedua keluar, lelaki kedua itu bersama tiga rakannya yang lain meluru masuk semula ke dalam kedai dengan salah seorangnya memegang parang,” katanya.

Pun begitu, mereka bernasib baik kerana ikatan pada tangan Rasyidah tidak kemas dan membolehkannya membuka ikatan tangan mereka berdua sebelum Noor Nabilla bertindak menghubungi abang sulungnya untuk memaklumkan kejadian itu.

Akibat kejadian itu, kerugian keseluruhan yang ditanggung mangsa berjumlah kira-kira RM13,000 kerana kehilangan wang tunai kira-kira RM3,000, 20 buah telefon bimbit baru pelbagai jenama, 10 buah telefon bimbit terpakai pelbagai jenama, dua utas gelang emas, seutas rantai leher emas dan dua bentuk cincin emas.

Bagaikan malang berganda, Noor Nabilla berkata, secara kebetulan pada hari kejadian itu dia turut membawa barang kemas ibunya di dalam beg tangannya yang diambil perompak terbabit.

“Kebetulan mak saya keluar rumah berjumpa doktor pakar jadi dia tanggalkan barang kemasnya dan suruh saya simpan, saya simpan barang itu dalam beg tangan. Selain itu tiga buah telefon bimbit milik saya juga ada dalam beg itu.

“Sejak empat tahun bekerja sebagai jurujual di kedai abang ini, inilah pengalaman pertama kali saya dirompak. Saya dan kawan hanya ikut arahannya untuk elak kami dicederakan,” katanya yang masih kelihatan trauma.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, kereta yang dinaiki kesemua suspek berkenaan melarikan diri menghala ke arah jalan keluar dari Seri Bandi.

“Kesemua suspek adalah lelaki Melayu dan mereka kini sedang diburu. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan menggunakan senjata,” katanya.-Sinar Harian

2 comments:

  1. Astarfighullah, sekarang berhati-hati dimana jua kita berada. Sekarang kalau ade masalah penjenayah buat LAPORAN POLIS. Jangan duduk diam atau biarkan diri kene Mangsa.

    ReplyDelete
  2. Besonders im Frontzahnbereich, in dem Zahnverfaerbungen und Zwischenraeume besonders stark auffallen, sind Veneers die ideale Loesung. cep telefonu takip programı

    ReplyDelete

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib