Saturday, 1 March 2014

Budak 15 bulan lemas dalam tong air

Adam lemas dalam tong simpanan air.
Seorang bayi lelaki berusia 15 bulan, Mohd Adam Kamaludin ditemui lemas oleh empat adik beradik yang menjaganya akibat terjatuh ke dalam tong simpanan air di rumah mereka di Kampung Jemari Baru, Pengkalan Batu, di sini, petang kelmarin.

Kejadian sekitar jam 3 petang ketika mangsa ditinggalkan bersama dua kakak dan dua abangnya yang berusia antara lima hingga 12 tahun di rumah mereka kerana kedua orang ibu bapa mereka keluar bekerja.

Kakak mangsa,  Nor Sarida Kamaludin, 12, berkata, sewaktu kejadian dia sedang menyiapkan kerja sekolah di anjung depan tanpa menyedari kehilangan Adam.

“Selepas menyedari adik (Adam) tiada, saya bersama adik beradik lain bergegas cari dan menemuinya di dapur dalam keadaan terlungkup di dalam tong berisi air dengan kakinya ke atas.

“Saya terus mendukung Adam sambil berlari ke rumah Makcik Mahbu (pengasuh mangsa) yang terletak kira 500 meter dari rumah untuk meminta bantuan, ketika itu saya lihat Adam sudah kaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Ibu mangsa, Sahida Hamzah, 35, berkata, pada hari kejadian dia pulang ke rumah pada waktu rehat sekitar jam 12 tengahari untuk mengambil Adam di rumah sepupu yang juga pengasuh mangsa seterusnya membawanya bersama-sama menjemput anak-anak yang lain di sekolah.

Menurutnya, beliau akan menghantar anak-anaknya itu ke rumah kerana kakaknya yang berusia 12 tahun itu sudah boleh memberi adiknya makan terlebih dahulu sebelum menghantarnya semula ke rumah pengasuh.

“Saya tidak sangka kejadian buruk menimpa Adam sedangkan Nor Sarida menguruskan hal tersebut sejak saya habis pantang lagi.

"Malam sebelum kejadian Adam berubah menjadi sangat periang dan tidak henti bergurau dengan ahli keluarga termasuk pengasuhnya ketika mereka diundang untuk makan malam bersama sedangkan sebelum ini dia sangat pendiam.

“Sebelum ini ada juga kenalan ingin mengambilnya untuk dijadikan sebagai anak angkatnya kerana melihat kehidupan kami yang serba susah, tetapi saya berkeras tidak mahu dan memberitahu pasangan suami isteri itu yang saya akan membesarkan dalam apa juga keadaan sekalipun namun kami gagal menunaikan tanggungjawab tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Sahida reda dengan ketentuan Ilahi walaupun keletah Adam masih terbayang-bayang di matanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Zulkepli Hashim mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan mendapati mangsa mati akibat lemas.

“Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut dan menolak sebarang unsur jenayah, mayat dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Batu 3, Jalan Jemaluang, di sini,” katanya.-Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib