Wednesday, 19 February 2014

Wanita Mati Dipercayai Dipukul Teman Lelaki

Pakizah Raja Khan meninggal dunia dipercayai dipukul teman lelaki.
Seorang wanita meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala dipercayai dipukul teman lelakinya di rumah suspek di Lagoon Perdana, Bandar Sunway di sini, malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli ketika dihubungi Bernama berkata mangsa, Pakizah Raja Khan, 27, disahkan meninggal pukul 1.41 pagi Selasa ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Katanya dalam kejadian 8.50 malam Isnin, pengadu, 53, iaitu ibu saudara mangsa, menerima panggilan daripada teman lelaki mangsa, meminta pengadu pergi ke rumahnya.
“Pengadu tiba di rumah lelaki itu pukul 12.10 tengah malam dan mendapati mangsa sedang menahan sakit manakala lelaki terbabit berada di dalam rumah itu bersama ibu saudaranya serta seorang budak perempuan,” katanya.
Yahaya berkata pengadu membuat laporan polis apabila mengesyaki Pakizah, yang bekerja di pusat panggilan sebuah bank di Kuala Lumpur, dipukul lelaki terbabit kerana mendapati kesan luka baharu dan lama di badan mangsa.
Lokasi kejadian berlaku di rumah mangsa.
“Kami sedang mencari suspek yang berumur 30 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kes kematian itu. Semakan polis di rumah lelaki berkenaan di Lagoon Perdana, Bandar Sunway mendapati tiada penghuni,” kata Yahaya.
Sementara itu, ibu mangsa, Maimunah Abdullah, 49, yang ditemui pemberita di PPUM berkata ketika berada di rumah lelaki itu, dia melihat anak perempuannya itu sedang meronta-ronta sakit dan membawanya ke hospital.
“Pihak hospital memberitahu anak saya mengalami kecederaan di badan dan kepala sebelah kiri lembik, dipercayai tengkoraknya retak,” katanya sambil menambah anaknya berkawan dengan lelaki terbabit sejak tahun lepas. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib