Thursday, 13 February 2014

Terpulang kepada Rodrigues, Stefano mahu mengadu ke FIFA

 Evaldo Rodrigues dan Stefano Impagliazzo.
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyerahkan kepada pemain import, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo sama ada mahu membuat aduan kepada dua badan induk bola antarabangsa berhubung kes ‘Terowong Larkin’.
Presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, kedua-duanya bebas membuat laporan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya wajar berbuat demikian.
“Saya dimaklumkan kedua-duanya akan mengemukakan laporan kes mereka itu kepada FIFA, namun bagi PBSNT perkara ini belum diputuskan kerana masih dalam peringkat perbincangan pihak pengurusan dan ia hanya bakal diketahui dalam tempoh terdekat.
“Jika mereka mahu membawa kepada AFC atau FIFA sekalipun, itu bukan lagi bidang kuasa kami kerana pergerakan persatuan sendiri terbatas,” katanya.
Pada 1 Februari lalu, perlawanan pusingan kedua Piala FA membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin terpaksa ditangguhkan selepas pasukan pelawat itu menarik diri pada babak kedua.
Ia sebagai langkah keselamatan selepas Rodrigues didakwa ditumbuk, manakala jurulatih kecergasan Impagliazzo turut mendakwa dikasari di dalam terowong stadium itu ketika mereka sedang menuju ke bilik persalinan.
Sementara itu, Rodrigues ketika mengulas mengenai isu berkenaan berkata, dia sedang mengikuti perkembangan yang akan berlaku selepas ini.
“Saya mahu tunggu dan lihat apa perkembangan selanjutnya dalam tempoh terdekat ini, dan selepas itu baru saya akan membuat keputusan sama ada membawa kes ini kepada AFC atau FIFA. Bagi saya, kes ini serius dan berharap FAM membuat keputusan yang adil dan telus,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Rodrigues mengakui yang kejadian itu sedikit sebanyak mengganggu prestasinya di atas padang dan buat seketika mahu melupakan insiden itu bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada pasukan untuk saingan Liga Super.-bh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib