Saturday, 1 February 2014

Tabung Haji bayar bonus lapan peratus

Tabung Haji umum bonus 8 peratus.
Seramai 8.3 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) menerima Bonus Tahunan enam peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.

Daripada jumlah keseluruhan pendeposit, hanya 7.7 juta akan mendapat tambahan Bonus Haji dua peratus. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kadar pembayaran Bonus Tahunan TH mencatatkan peningkatan 14.3 peratus kepada RM2.4 bilion berbanding RM2.1 bilion tahun sebelumnya. 
Beliau berkata, keseluruhan pembayaran bonus 2013 berjumlah RM2.6 bilion, meningkat 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pembayaran keseluruhan bonus merangkumi Bonus Tahunan berjumlah RM2.4 bilion dan Bonus Haji sebanyak RM223 juta,” katanya ketika mengumumkan bonus terbabit di di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Paduka Ismee Ismail. 
Pendeposit boleh menyemak bonus masing-masing menerusi kaunter TH dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamic mulai Isnin ini.

Jamil Khir berkata, pembayaran Bonus Tahunan akan dinikmati semua 8.3 juta pendeposit TH, dengan 7.7 juta daripada mereka iaitu pendeposit yang belum menunaikan haji turut akan menikmati tambahan Bonus Haji.

“Pemberian Bonus Tahunan ini selain menghargai kesetiaan pendeposit yang sentiasa yakin dan aktif menyimpan dana di TH, ia juga memberi keutamaan kepada majoriti akaun pendeposit yang belum menunaikan haji,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas pengumuman bonus itu, Abdul Azeez berkata, TH sedang berusaha dengan mengambil pelbagai pendekatan terutama konsep kerajaan kepada kerajaan merayu Kerajaan Arab Saudi meningkatkan kuota haji tahun ini.

Katanya, beliau, Jamil Khir dan Ismee akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji Arab Saudi, Bandar Hajjar bulan depan, antara lain membincangkan mengenai tambahan kuota haji Malaysia.

“Kerajaan dan TH akan terus berusaha mendapatkan tambahan kuota bagi memastikan tempoh menunggu yang kini sehingga 50 tahun dapat dipendekkan sedikit.

“Kita mengharapkan apabila projek pembesaran Masjidilharam yang dijangka siap tahun depan, memberi peluang kepada lebih ramai bakal haji Malaysia menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Bermula sekarang, TH meneliti kriteria bakal haji dengan memberi fokus kepada mereka yang pertama kali menunaikan haji, berdasarkan faktor umur dan kudrat,” katanya.-bh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib