Sunday, 2 February 2014

Suami hentak isteri dengan kapak kerana enggan beri wang RM100

Anis menunjukkan luka dipukul suami.
Gara-gara tidak memberinya wang, seorang suami tergamak menghentak kepala isteri menggunakan kapak sebelum mengikat leher wanita itu dengan rantai besi dan memperlakukannya seperti seekor beruk di kediaman mereka di Kampung Temusu, Limbat, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, mangsa, Nor Anis Mohamad Nor, 21, yang baru sahaja habis berpantang selepas melahirkan anak kedua, cedera di kepala dan leher selain lebam di seluruh badan akibat dibelasah suspek.

Menurut Nor Anis, suaminya yang tidak bekerja sejak empat bulan lalu sering meminta wang daripadanya dan ketika kejadian, lelaki itu pulang ke rumah sebelum meminta wang sebanyak RM100 dipercayai untuk membeli bekalan dadah.

"Saya memang tidak ada duit sebanyak itu tetapi dia suruh cari juga. Saya terpaksa keluar tinggalkan anak-anak dan pergi ke rumah seorang rakan untuk pinjam duit namun gagal.

"Saya betul-betul takut mahu pulang ke rumah, jadi saya telefon bapa untuk meminta pertolongan sebelum pergi ke rumah seorang saudara yang tinggal berhampiran," katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (HUSM), di sini hari ini.
Bagaimanapun, suspek yang berang kerana Nor Anis tidak pulang ke rumah berjaya menemui isterinya di rumah saudara mereka lalu menghentak kepala wanita malang tersebut dengan belakang kapak.

"Dia turut menendang saya hingga terjatuh namun saya berjaya bangun. Saya tidak fikir panjang terus lompat keluar menerusi tingkap dan berlari balik ke rumah.

Leher mangsa cedera kerana dijerut dengan rantai. Gambar kecil: suspek.
"Dia kejar saya, tangkap dan heret saya ke dalam rumah sebelum ikat leher saya dengan rantai besi yang digunakan untuk menambat beruk dan menguncinya dengan mangga," katanya.

Nor Anis bagaimanapun bersyukur kerana dua anak mereka, masing-masing berusia 2 tahun serta 50 hari tidak diapa-apakan.

Derita ibu muda terbabit berakhir apabila sepasukan polis menyerbu kediaman mereka selepas dihubungi bapa mangsa namun suspek berjaya melarikan diri dengan terjun menerusi tingkap rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika mengesahkan kejadian tersebut memberitahu, polis masih memburu suspek yang didapati memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan kes pukul serta dadah.

"Kita minta suspek, Mohd. Fahmi Mat Refin, berusia 26 tahun menyerah diri bagi membantu siasatan," katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib