Wednesday, 5 February 2014

Polis Cawangan Khas mati ditembak

Mangsa ditembak di kepala.
Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditemui mati dengan dua kesan tembakan di bahagian kepala di Jalan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan di sini hari ini.

Difahamkan, mangsa, T. Thivakar, 37, yang masih bujang dan berasal dari Chemor, Perak merupakan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, mayat mangsa ditemui oleh orang awam yang melalui jalan itu kira-kira pukul 4.30 petang.

“Satu tembakan mengenai pipi kanan sehingga menembusi pipi kiri sementara satu lagi disyaki dari mata kanan menembusi bahagian kiri kepala," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Khairi, pihaknya turut menemui dua kelongsong peluru bersaiz 9 milimeter (mm) di tempat kejadian.

“Mayat mangsa ketika ditemui dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian preman tidak jauh dari motosikal jenis Modenas Kriss yang dipercayai dinaikinya.

“Kesemua barangan mangsa termasuk dompet dan dokumen pengenalan diri miliknya masih berada dalam poket seluarnya," katanya.

Tambah Khairi, pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, bedah siasat dijalankan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib