Thursday, 6 February 2014

Polis berkas pembunuh pemandu teksi

Anak-anak mangsa melihat gambar bapa mereka.
Seorang bekas penagih dadah yang dipercayai suspek dalam kes pembunuhan seorang pemandu teksi di Kahang, Kluang, berjaya ditahan selepas empat jam polis menerima laporan, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, suspek lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di Kampung Sri Cahaya, Kluang, kira-kira jam 4.05 petang kelmarin.
“Polis menerima laporan pada jam 12.01 tengah hari dari orang awam yang menemui pemandu teksi berumur 60 tahun, Ahmad Zaudin Adon, dalam keadaan berlumuran darah di dalam sebuah teksi di Kahang.
“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat kesan kelar di tangan dan tikaman pada perut mangsa,” katanya.
Menurutnya, susulan penahanan itu, suspek menunjukkan tempat kejadian serangan terhadap mangsa dan polis menemui tompokan darah dan daging mangsa.
“Hasil siasatan, polis mendapati penjenayah menyamun mangsa. Penjenayah akan direman dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, keluarga mangsa tidak menyangka berita mengenai mangsa mengalami kemalangan sebenarnya akibat disamun.
Sepupu mangsa, Rohana Abdul Rahman, 50, berkata, pada mulanya mereka sekeluarga menyangka arwah kemalangan biasa.
“Semasa diberitahu oleh seorang pemandu kereta sewa pagi semalam (kelmarin), kami sekeluarga menyangka abang Man (mangsa) kemalangan biasa namun sebaik tiba di hospital kami dimaklumkan dia dipercayai dibunuh penumpang yang cuba menyamunnya.
“Kami tidak sangka pelakunya sanggup bertindak sekejam itu hanya untuk sedikit wang. Harap penjenayah itu menerima hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan sehingga mengakibatkan arwah terbunuh,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pada malam kelmarin, mangsa ada menelefon isterinya, Fatimah Salleh, 56, dan memberitahu sedang dalam perjalanan ke Kluang.
“Saya dimaklumkan dia ada menghubungi isterinya kira-kira jam 11.30 semalam (kelmarin) dan memberitahu dalam perjalanan ke Kluang.
“Selain itu, dia ada juga menanyakan keadaan isteri serta ayam peliharaannya. Selepas itu kami tidak mendapat berita tentangnya. Tidak lama kemudian seorang pemandu teksi yang juga rakan arwah memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Rohana berkata,  difahamkan mangsa ditemui mati di dalam kereta oleh pemancing yang curiga melihat kenderaan yang terperosok di dalam belukar lalu memeriksanya sebelum mendapati pemandunya mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditikam dan dikelar.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Hospital Enche’ Besar Hajah Kalsom, Kluang untuk bedah siasat dan dituntut ahli keluarganya.
Arwah dijangka dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Batu 3 Jalan Sri Pantai, di sini hari ini.-sh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib