Wednesday, 5 February 2014

Pemain import T-Team trauma, mahu adu FIFA

Patrich Wanggai menjalani latihan tanpa dua lagi rakan.
DUA tonggak import T-Team, Fabio Flor De Azevedo dan Evaldo Rodrigues, dilaporkan mengalami tekanan selepas insiden panas yang berlaku pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu.
Lebih mengejutkan, Rodrigues dan Fabio Flor turut dikatakan enggan lagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan mahu pulang ke negara kelahiran mereka, Brazil dalam masa terdekat.
Satu sumber memberitahu, kedua-dua pemain itu kini berada dalam keadaan trauma selepas kejadian tersebut.
Rodrigues didakwa telah dikasari ketika menuju bilik persalinan sebaik tamat separuh aksi babak pertama ketika berdepan Johor Darul Takzim (Johor DT).
Fabio Flor pula dikatakan telah diugut oleh seseorang dan kedua-dua pemain itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, malam kelmarin ekoran insiden tersebut.
Menurut sumber itu lagi, Rodrigues dan Fabio Flor mula menganggap situasi mereka semakin tidak selamat.
“Jangan kata pergi ke kedai makan, keluar dari bilik pun mereka sudah takut. Apa yang boleh saya katakan, mereka dalam keadaan trauma.
“Saya difahamkan kedua-dua pemain itu mahu balik ke Brazil selepas mendapati keselamatan mereka mula diancam.
“Ini sudah tentu memberikan masalah kepada pihak pengurusan T-Team.
“Bagaimana pasukan T-Team mahu mendapatkan lagi dua khidmat pemain import jika kedua-dua pemain terbabit tetap mahu menamatkan kontrak mereka serta-merta.
“Saya juga difahamkan mereka sedang mempertimbangkan untuk membuat aduan secara rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kes yang terjadi di Larkin,” jelas sumber itu lagi kepada Kosmo! semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa telah mengesahkan menerima empat laporan daripada T-Team berhubung insiden panas di Larkin.
Selain Rodrigues dan Fabio Flor, jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo turut dilaporkan menjadi mangsa kekasaran dalam insiden tersebut.-kosmo

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib