Wednesday, 19 February 2014

Mahu kematian ADO dirungkai - isteri mangsa

NOORUL Shazrina bersama anaknya reda dengan kehilangan ketua keluarga mereka.
“Kalau betul tiada unsur jenayah saya terima, tetapi saya harap polis membuat siasatan rapi agar punca kehilangan dan kematian suami dirungkai.
“Ada atau tidak unsur jenayah, saya reda dengan pemergian suami,” kata Noorul Shazrina Shafiee, 33, isteri Allahyarham Wan Harrif Rafany Wan Muda, 35, yang ditemui mati terapung di Sungai Tajin, Hulu Terengganu, kelmarin.
Itu reaksi Noorul Shazrina mengenai kematian suaminya yang disahkan akibat lemas setakat ini, selepas bedah siasat.
Noorul Shazrina yang juga guru Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Marang, berkata jika benar arwah suaminya mati akibat lemas tanpa ada unsur jenayah atau khianat pihak lain, dia menerima ketentuan itu dengan reda.
“Masanya dia sudah tiba.
Itu (lemas) hanya menjadi penyebab saja.
Begitu juga dengan masa dan tempat arwah pergi, semua hanya sebabnya saja.
Sudah ajal suami begitu Jika sekali pun bukan angkara manusia yang berniat jahat kepada suami, saya reda dia pergi begitu kerana ia ketentuan Allah,” katanya tenang.
Menurutnya, sebelum meninggal dunia, suaminya bersikap luar biasa apabila gemar memakai jubah dan sentiasa membawa tasbih sejak sebulan lalu.
“Suami tidak banyak bercakap sejak sebulan lalu tetapi tetap mesra dengan dua anak kami, Wan Nor Sofia, 6, dan Wam Iman Nashrid, 4,” katanya.
Jenazah Wan Rafany selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Raja, selepas solat Isyak, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa antara ratusan penduduk dan sahabat handai yang hadir pada majlis pengebumian itu.
Majlis dihadiri ramai rakan arwah dari Pejabat Tanah Kuala Terengganu yang tiba dengan bas khas.-hm

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib