Sunday, 2 February 2014

Lelaki Bangladesh ditetak cuba rogol jiran

Lelaki Bangladesh ditetak ketika cuba merogol jiran.
Seorang lelaki Bangladesh yang cuba merogol di Kampung Teluk Wanjah di sini, cedera di kaki kanan apabila ditetak dengan parang oleh suami mangsa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam, jeritan mangsa, Shopiah Ahmad, 50, didengari oleh suaminya, Hashim Nan, 62, yang ketika itu sedang membelah kelapa di belakang rumah.

Shopiah berkata, beliau mengenali suspek yang berusia 40-an itu, kerana suspek merupakan jirannya dan tidak menyangka lelaki terbabit sanggup bertindak demikian kerana sebelum ini suspek dikenali sebagai seorang yang baik.

“Sebelum kejadian saya bersembang dengan tuan rumah kami di luar rumah dan saya ternampak suspek masuk ke dalam rumahnya. Waktu itu saya memang nampak dia pandang saya.

“Tidak lama kemudian, selepas tuan rumah kami balik, saya masuk semula ke dalam rumah. Namun pintu hadapan rumah saya tidak kunci dan suspek tiba-tiba meluru masuk lalu merentap pakaian saya," katanya di Kampung Teluk Wanjah di sini hari ini.

Menurutnya, ekoran itu beliau terus menjerit meminta tolong dan jeritannya itu disedari oleh suaminya yang sedang membelah kelapa di belakang rumah, lalu suaminya segera memasuki rumah mereka sambil membawa sebilah parang.

“Suspek kemudian bertindak dengan lebih ganas sehingga dia menyerang lalu memukul pula suami saya bertubi-tubi.

“Dalam pergelutan untuk mempertahankan diri, suami saya berjaya menetak kaki kanan suspek.

“Saya bersyukur kerana terselamat daripada menjadi mangsa suspek," jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Kommisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, suspek yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.

“Kes diklasifikasikan sebagai cubaan merogol dan disiasat dibawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan," jelasnya.-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib