Wednesday, 5 February 2014

Kes bunuh budak dua tahun, ibu dan kekasih didakwa berasingan

Sofian Hadie (kiri) dan Rabiatul Adawwiyah Mamat
Ibu kanak-kanak dua tahun yang ditemui mati di sebuah rumah kosong di Paka, di sini, bulan lalu dan teman lelakinya didakwa atas tiga pertuduhan berasingan di Mahkamah Majistret di sini, semalam. 
Pendakwaan di hadapan Majistret Hazwanie Husain Bustari dimulakan dengan pendakwaan ke atas teman lelaki ibu kanak-kanak itu, Sofian Hadie Mohd Nor, 35, yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 
Bagi pertuduhan itu, Sofian Hadie yang beralamat di Kampung Baru Tebing Tembah, Paka, juga suspek utama didakwa mendera dan mengabaikan Nur Syafiqah Adawiyah Abdullah yang ketika itu dalam jagaannya sehingga menyebabkan kematian. 
Mengikut kertas pertuduhan, Sofian Hadie yang turut terbabit dengan penagihan dadah didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Perumahan Seberang Paka Fasa 2, Paka di sini, jam 3.20 petang, pada 22 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia boleh didenda sehingga RM20,000, penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
Dia yang berpakaian lokap warna ungu turut didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal menunjukkan kad pengenalan ketika ditahan polis di Pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Paka, di sini, jam 1.30 tengah hari, 21 Januari lalu.

Sofian Hadie bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap kedua-kedua pertuduhan itu.

Di mahkamah sama, ibu Nur Syafiqah, Rabiatul Adawwiyah Mamat, 28, didakwa mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan anaknya itu.

Dia yang berbaju-T merah dan bertudung hitam didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Paka, jam 12.01 tengah hari pada 18 Januari lalu, bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Mengikut kertas pertuduhan, dalam laporannya, Rabiatul Adawwiyah yang tidak bekerja mendakwa anak perempuannya itu disyaki diculik selepas ditinggalkan kira-kira setengah jam dalam kereta PERODUA Myvi di hadapan sebuah restoran ikan bakar di Kuala Paka, antara jam 7 malam hingga 7.30 malam, pada 17 Januari lalu.

Tertuduh yang mengaku membuat laporan palsu itu atas paksaan teman lelakinya turut mendakwa meninggalkan anaknya dalam kereta berkenaan dalam keadaan tidak berkunci ketika dia bertemu rakannya.

Dia turut mendakwa anaknya mungkin diculik seorang lelaki dikenali sebagai Arif yang mengugut akan mengambil Nur Syafiqah Adawiyah jika tertuduh tidak membayar hutang.

Rabiatul Adawwiyah juga mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan itu yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda kerana memberi atau mereka keterangan palsu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam hujahnya, Wan Mohd Izzat memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Sofian Hadie kerana kes pembunuhan kanak-kanak itu membabitkan kepentingan awam dan mendapat liputan meluas media, serta ancaman keselamatan terhadap keluarga mangsa jika tertuduh dibenarkan diikat jamin.

Bagaimanapun, Wan Mohd Izzat menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap Rabiatul Adawwiyah.-bh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib