Thursday, 13 February 2014

Gejala samseng hooligan mesti dihapuskan

Pergaduhan penyokong Pahang da JDT.
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa menyarankan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya memperbaiki dan meningkatkan pengurusan dalam pelbagai aspek sebagai langkah mengurangkan gejala provokasi dalam kalangan penonton.
Beliau berkata, jika FAM mengambil tindakan secara menyeluruh mengenai aspek pengurusan di peringkat negeri dan kebangsaan, langkah itu juga mampu mencegah gejala 'hooligan' yang semakin berleluasa dalam arena bola sepak tanah air.
"Ketika industri bola sepak negara semakin berkembang, kita kena tahu apa parameter yang turut kita kembangkan bersama. Jangan guna kaedah pencegahan pemadaman kebakaran, api dah besar baru cari bomba.
"Kenapa tidak dicari kaedah pastikan tiada kebakaran daripada awal. Misalnya kaedah kawalan keselamatan di stadium, kena perbaiki dari sekarang. Sekarang negeri buat cara masing-masing, jual tiket secara manual walaupun tahu ramai orang nak beli tiket. Kenapa tak nak buat secara dalam talian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Padang Kala di sini, hari ini.
Seorang penyokong cedera di muka.
Annuar yang juga bekas Timbalan Presiden FAM berkata, pengurusan liga mesti ditadbir dengan mengambil satu langkah ke hadapan dan bukannya tindakan mencegah diambil setelah berlaku sesuatu peristiwa.
"Hooligan bukan benda baharu...ia berlaku di Eropah, Amerika Latin, Mesir dan di mana-mana. Nak elak hooligan berlaku di negara kita, perlu ada kaedah mengelaknya.
"Bagaimanapun sampai sekarang tak dibuat. Keadaan stadium tak dibaiki, keadaan pembelian tiket tidak dibaiki, tiada pagar automatik.
"Sebab itu, FAM dan pentadbir bola sepak perlu tadbir sebagai industri kemudian baharu kita bimbing proses pembangunan bola dalam keadaan baik," katanya.
Akhbar melaporkan suasana tegang di luar Stadium Darul Makmur, Kuantan, ketika pertemuan antara Pahang dan Johor Darul Takzim pada malam Sabtu lepas berikutan kehadiran segelintir samseng bola sepak yang sengaja menimbulkan kekecohan dengan melakukan provokasi sama ada kepada pasukan pelawat atau tuan rumah.
Mereka terdiri daripada kelompok kecil yang wujud dalam mana-mana pasukan atau kelab, dan budaya 'hooligan' ini pernah berlaku di England. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib