Wednesday, 5 February 2014

Ekspedisi Antartika bukan pembaziran - Ahmad Said

Ahmad Said bersama rombongan ke Antartika.
Ekspedisi saintifik ke Antartika telah memberi peluang kepada peserta rombongan melihat secara dekat kerja-kerja penyelidikan para saintis dari seluruh dunia.
   
Menegaskan demikian, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata dakwaan pembangkang bahawa ekspedisi itu suatu pembaziran adalah tidak benar sama sekali.
   
Katanya, beliau dan peserta rombongan yang lain mengambil risiko yang tinggi mengunjungi kutub selatan itu.  
   
"Saya ke Antartika atas undangan Institut Penyelidikan Antartika Chile.
   
"Ketika di sana kami menaiki kapal tentera laut Chile iaitu 'Aqulies' dan bukannya makan angin (melancong).
   
"Kalau saya nak makan angin, lebih baik saya tidak ke Antartika..nak beli apa di sana?..nak sentuh dan bawa balik penguin pun tak boleh.
   
"kami sebenarnya mengambil risiko tinggi kerana cuaca di sana sukar diramalkan dan berubah dalam masa yang singkat," katanya.
   
Beliau bercakap pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini selepas menamatkan ekspedisi itu yang bermula 22 Januari lepas.
  
Turut hadir Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah.    
   
Ahmad Said berkata, lawatan itu bertujuan membuka laluan bagi membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH).
   
Ahmad berkata, susulan kepada ekspedisi itu, satu seminar membabitkan saintis dari Malaysia dan Chile dijadual berlangsung pada Ogos depan bersempena 'The Biennial SCAR Open Science Conference and Delegates Meeting 2014'.
   
Lokasi persidangan dan mesyuarat itu akan diumumkan kelak, katanya.
 
Dalam pada itu, ditanya mengenai insiden perlawanan pusingan kedua antara T-Team dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Baharu, pada 1 Februari lepas, Ahmad berkata beliau menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menetapkan perlawanan ulangan.
   
"Saya tak dapat lagi maklumat lengkap..nanti saya bincang dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.
   
"Laporan polis telah pun dibuat maka kita tunggu sahaja apakah keputusan FAM kelak...saya tidak mahu komen lanjut mengenainya," katanya.
   
Akibat insiden itu, perlawanan di Stadium Larkin itu tidak dapat diteruskan pada separuh masa kedua apabila T-Team dikatakan menarik diri.
   
Tindakan itu dipercayai akibat pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikatakan dikasari oleh pihak JDT ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama.  - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib