Saturday, 1 February 2014

Datuk Lee Chong Wei calon BN di Kajang?

Datuk Lee Chong Wei.
MCA akan meneliti semua cadangan termasuk meletakkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak menolak kemungkinan tersebut kerana populariti Chong Wei mungkin boleh membantu memberikan kemenangan kepada BN di kerusi tersebut.

"Tidak kira siapa calon pun, kita bersikap terbuka. Kita akan pilih calon yang boleh menang.
"Kriteria penting yang perlu ada pada calon itu ialah semangat untuk berkhidmat, prihatin kepada rakyat, semangat BN yang kental dan dapat memberikan pembangunan," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Rumah Terbuka MCA sempena Tahun Baru Cina di Wisma MCA di sini hari ini.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin mencadangkan MCA meletakkan Chong Wei sebagai calon BN di DUN Kajang kerana populariti jaguh badminton dunia itu mampu menandingi populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, pemilihan Chong Wei sebagai calon juga dapat mengalihkan pelbagai isu yang melanda negara sekarang.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di situ, Lee Chin Cheh meletak jawatan tanpa sebarang alasan bagi membolehkan Anwar bertanding di situ.

Menurut Tiong Lai, MCA menaruh keyakinan untuk memperoleh kemenangan di DUN Kajang kerana pernah menang dan mempunyai rekod perkhidmatan baik di kawasan tersebut.

"Ini adalah era baharu untuk MCA. Kita sedang berusaha gigih di bawah kepimpinan baharu untuk melakukan transformasi kepada parti dan kita yakin ini dapat dicapai dalam tempoh yang cepat," ujarnya.-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib