Saturday, 1 February 2014

Anak pasangan Malaysia selamat tiba di KLIA pagi tadi

Aishah, Ammar, Adam dan Arif selamat tiba di KLIA.
"Kami berasa sungguh gembira berada di sini, kami  masih belum tahu ke mana kami mahu pergi selepas ini," kata Aishah Azizul Raheem, anak sulung pasangan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden.
   
Itu reaksinya ketika ditanya perasaannya dan tiga adiknya sebaik tiba di tanah air.
   
Aishah, 14, dan adik-adiknya Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, tiba kira-kira 7.04 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini dari Stockholm menaiki pesawat Malaysia Airlines.
   
Keempat-empat beradik itu ditemani Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, seorang pegawai khas beliau serta seorang saudara keluarga itu.
   
Bapa mereka Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia dan ibu mereka Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, masih direman pihak berkuasa Sweden selepas ditahan pada 18 Disember lepas kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak lelaki mereka yang enggan solat.
   
Empat beradik itu kemudiannya dibawa untuk bertemu isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor di kediamannya di Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi ini.

Dua hari lepas, empat beradik itu diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Stockholm oleh pihak berkuasa Sweden dalam satu majlis di pejabat kedutaan dan kemudian diserah kepada seorang pegawai kedutaan yang merupakan keluarga angkat Islam Malaysia baharu mereka.
   
Sebelum ini, empat beradik itu ditempatkan bersama keluarga angkat bukan Islam berikutan penahanan ibu dan bapa mereka.
   
Tahanan reman Azizul Raheem dan Shalwati telah dilanjutkan tiga kali sejak mereka ditahan pada 18 Dis lepas.
   
Tiada had penahanan reman di Sweden. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib