Tuesday, 28 January 2014

Terengganu tekad tebus kekecewaan jumpa T-Team

Mamadou Barry import Terengganu.
PASUKAN Terengganu ingin menebus kekecewaan tewas ke atas Perak 0-1 pada saingan Liga Super di Ipoh, Sabtu lalu dengan melakar kemenangan menentang T-Team malam ini.
Kapten pasukan Terengganu, Zairo Anuar Zailani berharap agar rakan-rakan sepasukan kembali fokus dalam perlawanan menentang pasukan ‘adik’, T-Team sekali gus melakarkan kemenangan pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu.
“Saya berharap kami dapat bangkit dalam perlawanan malam esok (malam ini) dengan mengalahkan skuad The Titans. Bagi saya, hanya kemenangan sahaja dapat memadam kekecewaan kami setelah tewas di tangan Perak Sabtu lalu.
“Selain itu, kemenangan ke atas T-Team juga penting bagi kami untuk meningkatkan moral pasukan dalam menghadapi pusingan kedua Piala FA bertemu PKNS FC nanti,” katanya.
Bekas tonggak utama pasukan Kelantan itu berkata, mereka sudah menampilkan persembahan terbaik ketika bertemu skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu, tetapi perlawanan itu tidak memihak kepada Terengganu.
Katanya, secara keseluruhan pasukan Terengganu berjaya menguasai perlawanan itu dan memiliki peluang untuk menjaringkan gol, namun tindakan cemerlang penjaga gawang Perak, Razi Effendi Suhit turut menjadi penghalang utama buat skuad Penyu merobek gawang lawan.
“Saya tahu moral pemain T-Team ketika ini tengah membara selepas mengejutkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT).
“Bagaimanapun, saya berharap rakan sepasukan melupakan kekecewaan sebaliknya turun dengan misi meraih kemenangan ke atas T-Team malam esok (malam ini).”-kosmo

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib