Thursday, 23 January 2014

Prestasi sambil lewa pemain Terengganu dikritik jurulatih

NorFarhan Muhammad 2014.
Pengendali Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim berang dengan prestasi dipamerkan anak buahnya kerana bermain sambil lewa ketika membenam pasukan Liga FAM, Pahang Shahzan Muda 4-0 dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.
Jurulatih itu yang sebelum ini turut tidak berpuas hati ketika menang 2-1 ke atas PKNS FC, Sabtu lalu, mengulangi ungkapan sama selepas melihat persembahan anak buahnya walaupun beraksi di depan hampir 8,000 peminat setia pada aksi pusingan pertama piala berkenaan.
“Aksi dipamerkan bukan persembahan sebenar, pemain tampak mengambil mudah dengan menampilkan permainan individu, bukannya berpasukan.
“Meskipun menang, pada dasarnya saya tidak berpuas hati kerana kami sebenarnya mampu menang lebih besar jika bermain baik,” katanya.
Selain itu, Abdul Rahman berkata, ketumpulan barisan serangan serta kegagalan mengikut perancangan jelas menampakkan kelemahan ketara mereka.
“Apapun pemain perlu memperbaiki corak permainan apabila bertemu Perak di Ipoh, Sabtu ini,” katanya.
Bagi jurulatih Shahzan Muda Tajuddin Nor, biarpun mengetahui pemainnya melalui jalan sukar untuk layak ke pusingan kedua, beliau tetap memuji corak persembahan diperagakan pasukannya.
Katanya, walaupun Terengganu menguasai permainan dengan gerakan berbahaya, pemainnya mampu mengekang asakan lawan daripada melepaskan lebih banyak gol.
“Jika diberi pendedahan lebih luas lagi, kami mampu menjadi pencabar biarpun hanya dibarisi pemain tempatan yang rata-ratanya masih muda,” katanya.
Sementara itu jurulatih T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah mengakui sikap alpa pemainnya ketika mendahului lawan menjadi penyebab mereka nyaris dimalukan UiTM FC sebelum menang 3-2 di Stadium UiTM Shah Alam.-hm

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib