Tuesday, 28 January 2014

PERODUA bakal lancar sedan tahun depan

PERODUA lancar model sedan 2015.
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan melancarkan model sedan pertamanya tahun depan selepas segala proses perbincangan teknikal bersama Daihatsu Motor Company Ltd.
PERODUA yang sebelum ini hanya memberi tumpuan kepada pengeluaran kenderaan dalam segmen kompak melihat pengenalan model dalam segmen itu merancakkan lagi pelan strategik lima tahun syarikatnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, pihaknya juga akan menumpukan kepada pengeluaran model terbaru dalam segmen kompak yang dijangka mula dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.
Beliau berkata, kedua-dua model baru itu akan menggunakan kemudahan kilang operasi barunya bersebelahan kemudahan sedia ada di Rawang yang dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.
“Setakat ini, kilang baru kami di Rawang sudah 90 peratus siap dibina dan ia memerlukan masa untuk dilengkapi dengan pelbagai mesin serta robot yang bakal menyaksikan model kompak terbaru tahun ini serta sedan pada tahun depan akan dikeluarkan di sini.
“Kami juga membuat beberapa ciri tambahan lain untuk memantapkan lagi operasi kilang berkenaan dengan membelanjakan RM65 juta bagi membangunkan landasan ujian kenderaan,” katanya pada majlis makan tengahari sempena sambutan Tahun Baru Cina bersama media, di sini, semalam.
Mengenai model PERODUA Alza baru, Aminar berkata, setakat ini pihaknya menerima 8,000 tempahan sejak dibuka kepada orang ramai pada Disember tahun lalu.
Katanya, bersandarkan prestasi positif itu, PERODUA dijangka terus kukuh dalam penguasaan pasaran kenderaan nasional di negara ini, walaupun bakal mendapat persaingan daripada pemain industri lain pada tahun ini.-hm

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib