Wednesday, 15 January 2014

Kerajaan Terengganu sedia melabur untuk Terengganu dan T-Team

Jersi T-Team bagi musim 2014.
Kerajaan negeri sedia membuat pelaburan besar dalam dua pasukan bola sepaknya bagi memastikan kelangsungan usaha pembangunan dan kualiti pasukan Terengganu FA dan T-Team, sekali gus untuk menjulang kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia, musim ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata ini kerana kerajaan negeri melihat cabaran pasukan-pasukan lawan lebih hebat dan sengit berbanding musim sebelumnya. 
"Masalah bajet kewangan tidak timbul, apa yang penting kita harap kedua-dua pasukan ini akan berjaya membawa pulang salah satu piala tahun ini," katanya tanpa mendedahkan jumlah pelaburan yang akan dilakukan itu.
Ahmad Said menerima jersi Terengganu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain, jersi baharu dan menandatangani kontrak pasukan Liga Super Terengganu FA dan T-Team 2014 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) di sini, malam tadi. 
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Menurut Ahmad, Kerajaan Negeri bersedia memberikan ganjaran sewajarnya bagi meningkatkan prestasi pemain sekiranya mereka menunjukkan permainan cemerlang dalam setiap perlawanan.

Katanya, pada tahun ini pasukan Terengganu FA dan T-Team membariskan pemain terbaik dalam usaha merealisasikan hasrat berkenaan.
Jersi Terengganu dilancarkan.
Dalam pada itu, Ahmad memberi peringatan bahawa pihak pengurusan pasukan akan menggugurkan mana-mana pemain yang cuba menjual perlawanan dan tidak berdisiplin. 
"Tidak ada kompromi dan pemain-pemain terbabit akan digugurkan sekiranya didapati terlibat dalam masalah ini," katanya yang tidak akan menerima mana-mana pemain yang ingin mencari keuntungan cepat tetapi membunuh masa depan dan karier mereka sendiri.

Pada majlis itu, Terengganu FA menerima tajaan sebanyak RM2.3 juta manakala T-Team pula RM2.7 juta.

Ahmad bagaimanapun berkata, tajaan berkenaan masih tidak mencukupi untuk mengurus kedua-dua pasukan berkenaan dan kos selebihnya akan ditanggung kerajaan negeri.

Sementara itu, Wan Ahmad Nizam berkata hampir keseluruhan barisan pemain Terengganu FA dan T-Team musim ini terdiri daripada anak-anak Terengganu dengan sasaran membawa pulang Piala Malaysia musim ini.

Katanya, pemain yang sebelum ini bermain di luar Terengganu, telah dipanggil untuk berkhidmat dengan pasukan negeri sendiri.-
bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib