Tuesday, 28 January 2014

FAM tunggu masa sesuai umum Phillipe Troussier sebagai jurulatih Harimau Malaya

Phillipe Troussier 
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dikhabarkan hanya 'menghitung hari' sebelum mendapatkan tanda tangan pengendali kelahiran Perancis, Phillipe Troussier sebagai jurulatih baharu Harimau Malaya.
Sumber memberitahu Kosmo!, buat masa ini perbincangan antara FAM dan Troussier berjalan dengan baik.
Sekiranya tiada sebarang masalah katanya, Troussier bakal menerajui Harimau Malaya selewat-lewatnya pertengahan bulan depan.
Selain itu katanya, Troussier juga dikatakan bersedia menerima gaji yang lebih rendah berbanding AS$1.52 juta (RM4.9 juta) setahun yang dilaporkan sebelum ini.
"Jika tiada perubahan pada saat-saat akhir sama ada daripada FAM atau Troussier, perjanjian itu dijangka dimeterai dalam masa terdekat.
"Beliau juga dikatakan bersedia menerima gaji lebih rendah dengan syarat beliau turut membawa masuk 'orang-orang kanan' seperti pakar fisioterapi, pembantu jurulatih dan sebagainya bersama skuad Harimau Malaya," kata sumber itu yang enggan namanya didedahkan kepada Kosmo! semalam.
Sebelum ini, Troussier disebut-sebut menyandang 'kerusi panas itu' selepas dikatakan telah mendapat persetujuan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Jepun, Qatar dan Maghribi itu juga dikatakan lebih cenderung membimbing Harimau Malaya biarpun dikatakan turut mendapat tawaran lumayan daripada Persatuan Bola Sepak Tunisia.
Bagaimanapun, sumber itu enggan mengulas lanjut mengenai tarikh sebenar perjanjian itu akan dimeterai.
"Dalam mesyuarat Exco FAM sebelum ini, Tuanku Presiden dan Ahli Majlis juga telah bersetuju untuk melantik Troussier dan tiada nama lain dibangkitkan.
"Sekarang duit bukan masalah bagi FAM kerana mereka akan berusaha mendapatkan tajaan.
"Troussier telah menyatakan minatnya untuk datang ke Malaysia kerana percaya pengalaman bersama pasukan di Asia akan membantu meningkatkan lagi karier kejurulatihannya," jelas sumber berkenaan.
Difahamkan, Troussier dikatakan bersedia menerima gaji mencecah AS$800,000 (RM2.7 juta) setahun daripada FAM.
Selain Troussier, jurulatih AS Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Perancis, Marcel Desailly dan bekas jurulatih China dan Uzbekistan, Bob Houghton juga dikatakan berada dalam radar FAM.
Untuk rekod, mendiang Bertalan Bicskei dari Hungary merupakan warga asing terakhir yang dilantik FAM untuk mengendalikan skuad Malaysia dari 2004 hingga 2005.
Antara jurulatih asing yang pernah membimbing skuad Harimau Malaya sebelum ini termasuklah Alan John Harris (England), Hatem Souissi (Tunisia) dan seorang lagi warga Perancis, Claude Le Roy.
Ketika ini, pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee menggalas tanggungjawab selaku pengendali sementara Harimau Malaya selepas kontrak Datuk K. Rajagobal yang tamat 31 Disember tahun lalu tidak lagi disambung oleh FAM.
Skuad kebangsaan yang sekadar mengutip empat mata dalam aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 bakal berdepan Yemen dalam aksi terakhir kumpulan di tempat lawan pada 5 Mac depan.-kosmo

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib