Tuesday, 17 December 2013

Wanita bisu parah dipukul dalam kejadian cubaan samun

Keadaan Mariam selepas dipukul suspek dalam kejadian di Felda Tenang pagi semalam.
Seorang wanita bisu parah dipercayai dipukul penjenayah dalam cubaan samun di Felda Tenang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, Mariam Yahya, 50an, yang cedera di bahagian muka dan beberapa anggota badan dikatakan menggagahkan diri pergi ke rumah jiran untuk meminta pertolongan.

Peneroka, Mohamad Hassan, 43, berkata, banyak pihak mendakwa mangsa turut dipukul dengan objek keras oleh suspek yang datang ke rumahnya dan dipercayai mangsa pengsan sebelum sedar dan pergi meminta bantuan.
Menurutnya, mangsa yang merupakan anak kepada peneroka, tinggal seorang diri di rumah berkenaan selepas kematian ibu bapanya.

“Dia masih bujang dan sebelum ini sering tidur lewat malam kerana menjaga ternakan ayamnya yang dikatakan sering dicuri dan dikhianati pihak tidak bertanggungjawab.

“Ketika saya dan peneroka buat rondaan di tanah rancangan ini sebelum ini, kami sering menasihati mangsa agar masuk ke dalam rumah memandangkan sekitar jam 3 pagi pun, dia masih berada di luar rumah menjaga ayamnya,” katanya.

Mohamad berkata, dia terkejut dengan kejadian yang menimpa mangsa.

“Banyak pihak tidak menolak kemungkinan suspek cuba menyamun mangsa, namun mangsa melawan menyebabkan suspek bertindak sedemikian,” katanya.

Katanya, sejak kebelakangan ini peneroka di sini sering meronda pada waktu malam setelah banyak kes pecah rumah berlaku.

Sebelum kejadian ini, sepasang warga emas di sini turut disamun oleh lelaki bersenjata tajam di rumahnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, motif sebenar kejadian belum diketahui berikutan keadaan mangsa yang tidak boleh bercakap, namun polis berusaha mengesan suspek.

“Mangsa telah dirujuk ke Hospital Besar Kota Bharu, Kelantan kerana kecederaan di bahagian muka dan anggota badan yang dialaminya,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib