Thursday, 12 December 2013

Terengganu, JDT capai kata sepakat selesai isu Farhan

Norfarhan Muhammad bebas wakili Terengganu 2014.
ISU membabitkan penyerang terbaik Liga Malaysia 2013, Mohd. Nor Farhan Mohamad selesai apabila dia disahkan akan bersama Terengganu musim depan.
Timbalan Presiden PBSNT, Marzuki Sulong berkata, perkara tersebut berjaya diselesaikan hasil perbincangan secara baik antara pihaknya dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
"Selepas mengadakan perbincangan dengan PBNJ, mereka bersetuju menyelesaikan isu itu secara baik dengan menarik balik surat aduan yang diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.
Justeru, beliau berterima kasih kepada Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sudi menyelesaikan isu tersebut dengan baik.
"Saya juga mahu berterima kasih kepada FAM yang membantu menangani isu daripada berpanjangan dan dapat diselesaikan antara dua pihak saja (PBSNT dan PBNJ)," katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.
Dalam pada itu, Marzuki enggan mengulas lanjut mengenai jumlah bayaran yang dibayar kepada PBNJ bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Saya rasa isu bayaran tidak perlu diperbesarkan dan apa yang boleh dikatakan ia bukan bayaran sejumlah RM490,000 yang digembar-gemburkan sebelum ini.
"Tidak perlulah saya beritahu PBSNT bayar atau tidak kerana yang paling penting isu ini dapat diselesaikan dengan cara baik dengan persetujuan bersama PBNJ," katanya.
Isu itu mula tercetus apabila Farhan yang dikatakan sudah menandatangani kontrak bersama PBNJ beralih untuk bersama pasukan Terengganu.
Justeru, PBNJ menggesa PBSNT atau Farhan membayar wang pampasan berjumlah RM490,000 jika masih berkeras untuk kekal di Pantai Timur.-kosmo

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib