Tuesday, 10 December 2013

Siti Nurhaliza turun padang lawat mangsa banjir

Datuk Siti Nurhaliza melawat mangsa banjir.
Prihatin dengan nasib menimpa mangsa banjir di Pahang, penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa hari ini tampil menghulurkan bantuan barangan keperluan asas.

Kehadiran Siti Nurhaliza dan Khalid atau Datuk K yang turut ditemani dua anak mereka, Adib Khalid dan Ashraff Khalid nyata menarik perhatian kira-kira 100 mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Gudang Rasau di sini.

Ada di antara mangsa terutama golongan wanita mengambil kesempatan untuk bergambar dengan penyanyi tersohor itu selain mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan.

Selain ke SMK Gudang Rasau, Siti Nurhaliza dan Datuk K turut melawat SMK Pandan bagi tujuan sama.
Besalaman dengan mangsa banjir.
Penyanyi itu ketika ditemui pemberita berkata, sumbangan barangan keperluan asas yang disampaikan itu adalah daripada Yayasan NurJiwa dan SimplySiti, selain barangan yang disumbangkan oleh peminat-peminatnya untuk mangsa banjir.

"Selain barangan keperluan asas seperti makanan, kami juga menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan untuk wanita.

"Kami akan membantu setakat yang termampu tetapi apa yang penting di sini ialah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membantu mangsa banjir," katanya.
Memberi banyuan keperluan harian.
Siti Nurhaliza berkata, beliau dan suami juga tidak menolak kemungkinan menyampaikan bantuan serupa ke negeri lain yang turut dilanda banjir jika keadaan masih belum pulih.

"Hari ini kami bermula di Pahang menyampaikan sumbangan tersebut dan kita lihat kepada keadaan, jika ada negeri lain yang masalah banjir masih belum pulih, saya dan suami akan ke sana bagi menyampaikan sumbangan," katanya.

Ditanya adakah rumah keluarganya di Kuala Lipis dinaiki air, Siti Nurhaliza berkata, beliau bersyukur kerana rumah itu terselamat daripada bencana banjir.-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib