Tuesday, 10 December 2013

Rumah pusaka lenyap, kereta rosak dibawa arus banjir

Kereta tersadai selepas banjir.
Sebanyak tiga buah rumah di Kampung Air Putih yang merupakan kampung paling teruk terjejas dan 100 peratus tenggelam banjir di daerah ini, hanyut dan ranap dibawa arus banjir yang disifatkan penduduk kampung sebagai banjir paling dahsyat umpama gelombang tsunami.

 Seorang penduduk, Syukri Ahmad, 40, berkata, air banjir yang laju menenggelamkan kampungnya dalam masa singkat mengakibatkan rumah pusaka yang didiaminya sekeluarga lesap ketika banjir memuncak di kampung itu pada lewat petang Selasa lalu.

“Saya seakan tak percaya apabila dimaklumkan penduduk kampung bahawa rumah saya sudah tiada pada tapaknya kerana dihanyutkan banjir. Saya dimaklumkan mengenai perkara ini oleh jiran pada keesokannya.

“Kampung ini memang setiap tahun dilanda banjir, tapi kali ini paling dahsyat kerana selain rumah saya, dua lagi rumah penduduk lain turut musnah dibawa arus banjir,” katanya ketika ditemui di kampung itu, semalam.

Menurutnya, dia memindahkan isterinya yang sedang hamil lima bulan dan tiga anaknya berusia 5 hingga 13 tahun pada lewat petang ketika air mulai menenggelamkan kawasan rumah mereka sedalam kira-kira setengah meter.

“Air naik dengan cepat, jadi saya hanya sempat mengambil dokumen penting dan mengalihkan peralatan dan perabot ke tempat tinggi. Tapi semuanya tenggelam kerana air naik hingga bumbung. Biarpun sekarang kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, tapi saya bersyukur sebab kami sekeluarga selamat.

Keadaan rumah ayng hanyut dibawa air banjir.
Sementara itu, banjir yang datang ibarat limpahan tsunami turut memusnahkan sebahagian besar kedai makan seorang peniaga, Rohana Bakar, 52.

Rohana berkata, air banjir yang mengalir deras yang tidak ubah seperti tsunami menyebabkan dia dan cucu lelakinya yang berusia 11 bulan nyaris lemas ketika meredah banjir untuk ke Pejabat Pos Kampung Air Putih yang kedudukannya lebih tinggi.

“Nasib baik, makcik dan cucu yang nyaris lemas sempat diselamatkan oleh anggota keluarga lain yang turut mengharung banjir bersama.

"Perasaan takut ketika mengharung banjir hanya ALLAH SWT yang tahu sebab ketika itu, kereta dan peralatan lain dalam rumah penduduk terapung-apung dibawa arus,” katanya.

Menurutnya, selepas bertarung nyawa menyelamatkan diri, mereka sekeluarga akhirnya berjaya sampai ke Pejabat Pos Kampung Air Putih yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka kira-kira jam 1 pagi.

“Sampai sekarang makcik masih trauma dengan kejadian itu. Paling sedih, punca pendapatan kami juga terputus sebab warung dan peralatan dalam kedai termasuk pinggan mangkuk juga hilang sebab semuanya hanyut,” katanya.-sh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib