Wednesday, 11 December 2013

RM17,000 berjaya dikutip untuk mangsa banjir dalam perlawanan amal Terengganu-T-Team

Presiden PBSNT menyerahkan wang sumbangan kepada MB.
Atas rasa simpati terhadap peminat bola sepak tempatan yang menjadi mangsa banjir, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memberi sumbangan lebih RM17,000 untuk mereka malam tadi.

Timbalan Presiden PBSNT Marzuki Sulong berkata, wang itu hasil daripada perlawanan amal bola sepak antara pasukan Terengganu menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. 

"Alhamdulillah sambutan orang ramai menggalakkan. Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid telah menyerahkan wang itu kepada Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said selepas perlawanan itu.

"Kami harap wang berkenaan dapat disegerakan membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Marzuki mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para peminat yang datang menyaksikan perlawanan sambil menderma itu yang menyaksikan Terengganu menang 2-0 mengatasi T-Team.
Faiz Subri jadi supersub.

Selain itu, beliau berkata pasukan Terengganu dan T-Team juga mengambil peluang menguji enam pemain import dalam perlawanan itu untuk saingan Liga Malaysia 2014. 

Katanya pemain import berkenaan antaranya dari Brazil, Perancis dan Afrika. 

Terengganu akan memilih dua pemain import sementara T-Team akan memilih seorang daripada para pemain itu untuk melengkapkan pemain import masing-masing. 

"Secara peribadi saya berpuas hati dengan prestasi pemain-pemain import berkenaan dan kami serahkan kepada pucuk kepimpinan PBSNT untuk memutuskannya," katanya. 

Marzuki berkata Terengganu tidak mungkin akan mengadakan lagi ujian pemain import selepas ini. 

Terengganu uji pemain import untuk mencari seorang pemain yang benar-benar berkualiti untuk mengepalai barisan penyerang dalam kempen Liga Malaysia nanti. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib