Monday, 9 December 2013

Pemandu Singapura anggap jalan raya Malaysia sebagai syurga untuk berlumba

Tiga buah kereta mewah Lamborghini terbakar.
Meskipun kemalangan yang berlaku di KM260 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Seremban yang melibatkan tiga kereta Lamborghini berplat Singapura pada Jumaat, dianggap sebagai kes terpencil, ini bukanlah jaminan bahawa insiden yang serupa tidak boleh berlaku dan mengakibatkan impak yang besar kepada pengguna jalan raya yang lain.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun menyifatkan kemalangan yang melibatkan kerugian yang dialami dalam kemalangan tersebut bernilai RM7.2 juta bukanlah sesuatu jumlah yang kecil tetapi ianya boleh berlaku sekali lagi jika pengguna jalan raya dari negara jiran itu mengambil sikap sambil lewa terhadap peraturan jalan raya di negara ini.
“Corak pemanduan antara negara Singapura dan Malaysia tidak mempunyai perbezaan kerana kedua-duanya mempunyai pemanduan stereng yang sama namun, sesetengah pemandu dari negara jiran itu terutamanya yang datang ke negeri Melaka menganggap jalan raya di negara ini sebagai ‘syurga’ bagi pemanduan mereka,” katanya ketika ditemubual oleh Astro AWANI.
Menurutnya lagi, mereka akan menggunakan keupayaan kereta mereka di jalan raya negara ini untuk menguji sejauh mana kepantasan dan kelajuan kereta mereka.
Ini berbalik kepada suasana jalan raya di sini yang cukup baik dan sempurna bagi mereka.
Api marak membakar Lamborghini.
Malah, mereka juga mungkin memandang rendah penguatkuasaan undang-undang jalan raya di negara ini dan mengambil sikap tidak menghormati undang-undang di negara ini.
“Pada pendapat saya, marilah bersama-sama menghormati apa juga bentuk undang-undang supaya kita dapat menyelamatkan sekumpulan besar yang lain dari merasa runsing atau bimbang apabila berada di negara ini, lebih-lebih lagi di musim cuti persekolahan ini. Memandulah bukan sahaja dengan berhati-hati tetapi dengan hati untuk menghormati semua pihak yang lain,” katanya.
Tegasnya, di Malaysia, kempen-kempen keselamatan jalan raya tidak mengira latar belakang warganegara kerana impak kemalangan yang berlaku itu akan dirasai oleh semua pihak.
Kelmarin, tiga buah kereta mewah Lamborghini hangus terbakar dalam satu kemalangan di kilometer 260 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat Seremban.
Kemalangan melibatkan kereta yang dipercayai milik warga Singapura sedang berkonvoi dari negara itu ke Kuala Lumpur.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.57 pagi, tiga buah daripada lima kereta jenis Lamborghini dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan di lebuh raya.
Rempuhan itu menyebabkan berlaku kebakaran melibatkan ketiga-tiga buah kereta.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, dua jentera bersama 14 anggota tiba kira-kira tujuh minit kemudian.
Kesemua pemandu dan penumpang bagaimanapun dilaporkan selamat.
Kerugian akibat kemalangan itu dianggarkan lebih RM7 juta.-a.awani

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib