Tuesday, 31 December 2013

Lelaki didenda RM1,500 gigit bekas kekasih

Ahmad Syahmi Ibrahim dibawa ke mahkamah.
Gara-gara menampar pipi dan menggigit bahu bekas teman wanita yang memutuskan hubungan dengannya, seorang penganggur didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Ahmad Syahmi Ibrahim, 19, dari Kampung Alai, di sini, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Pustika Ramadani, 20, dengan menampar pipi kanan dan menggigit bahu kanan di sebuah rumah di Jalan PJ 1, Taman Pertam Jaya, kira-kira jam 8.30 malam pada 20 November 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksima RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Ahmad Syahmi yang juga bekas teman lelaki Pustika didakwa ke rumah wanita itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan memutuskan hubungan mereka sebelum bertindak menampar pipi dan menggigit bahu kanan pengadu.

Terdahulu, tertuduh ketika rayuan memohon supaya meringankan hukuman denda dan tidak dipenjara kerana dia yang sudah tidak bekerja perlu menanggung keluarga selain menyesal terhadap kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam yang mengendalikan kes memohon hukuman setimpal dikenakan meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana melakukan kesalahan yang serius sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Syajaratudur kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM1,500 dan diarah menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.-sh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib