Thursday, 12 December 2013

Harimau Muda bakal ubah strategi lawan Laos esok

Pemain Harimau Muda menjalani latihan.
Pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee dijangka mencongak strategi lebih berkesan menjelang aksi kedua Kumpulan A menentang Laos petang esok.
Kim Swee perlu melakukan sedikit perubahan terutama di beberapa posisi berdasarkan persembahan pemain-pemainnya ketika menewaskan Brunei 2-0 pada aksi pembukaan kelmarin.
Bagaimanapun, ketumpulan jentera serangan dan kerapuhan benteng pertama perlu diberi keutamaan.
Pada aksi menentang Brunei di Stadium Zeyyer Thiri, jentera serangan skuad negara yang diketuai Rozaimi Abd. Rahman, Izzaq Rafis Ramlan dan A Thamil Arasu mempersia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol.
Selain itu, kerapuhan benteng pertahanan hampir menyebabkan gawang Harimau Muda dibolosi menerusi beberapa percubaan jentera penyerang berbahaya Brunei terutamanya kelincahan Muhammad Azwan Ali Rahman.
Aksi Malaysia lawan Brunei kelmarin.
Namun, Kim Swee tidak cepat melatah dan menganggap situasi itu adalah satu perkara biasa.
"Selepas menamatkan perlawanan semalam, moral pemain-pemain tidak jatuh tetapi saya nampak reaksi mereka tidak gembira dengan keputusan itu.
"Persaingan dalam kumpulan ini masih terbuka. Singapura yang seri 1-1 dengan Laos pada perlawanan pertama berjaya menewaskan Vietnam yang membelasah Brunei 7-0 semalam.
"Jadi, tidak ada pasukan belasahan dalam kumpulan ini. Meskipun Brunei tewas dalam kedua-dua perlawanan pertama, mereka juga mampu menjadi pasukan pengacau," kata Kim Swee.
Kim Swee berkata, masih terlalu awal untuk membuat penilaian mengenai kelemahan dan kekuatan Harimau Muda kerana mereka baru beraksi satu perlawanan.
Katanya, sasaran utama adalah melayakkan diri ke separuh akhir dan jika sasaran itu berjaya dicapai, baru beliau akan memikirkan mengenai kelemahan jentera serangan dan pertahanan.
Pada aksi menentang Brunei, Harimau Muda hanya memperoleh gol pertama pada minit ke-30 menerusi Rozaimi sebelum Ashri Chuchu melakukan rembatan dari luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-71.
Dalam satu lagi perlawanan kelmarin, Singapura menewaskan Vietnam 1-0.
Ketika ini, Malaysia menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan A di belakang Singapura dan Vietnam selepas mengumpul tiga mata.-kosmo

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib