Tuesday, 31 December 2013

Bekas Setpol Idris Jusoh bebas tuduhan hantar SMS ugutan

Ahmad Ramzi bekas Setpol kepada Idris Jusoh.
Bekas Setiausaha Politik (Setpol) Menteri Besar Terengganu Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, 41, menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, melepaskan dan membebaskannya daripada kesalahan menghantar SMS ugutan kepada tiga wakil rakyat Barisan Nasional dan SMS fitnah kepada bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu, empat tahun lalu.
Sebaik keputusan itu dibacakan Hakim Datuk Azman Abdullah, Ahmad Ramzi yang ketika kejadian bertugas dengan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, terus memeluk isteri serta rakan yang menanti bersamanya di galeri awam.
Azman dalam penghakimannya berkata, Hakim Mahkamah Sesyen M Bakri Abd Majid sebelum ini terkhilaf apabila tidak mempertimbangkan pembelaan yang dibangkit mengenai ‘router’ (medium penghantaran SMS) di rumah perayu iaitu Dr Ahmad Ramzi.
Beliau berkata, Mahkamah Sesyen langsung tidak menimbangkan pembelaan perayu ‘router’ di rumah Dr Ahmad Ramzi pada masa itu ada mengalami masalah.
Salah satu mangsa ugutan Halim Jusoh menunjukkan sms.
Dalam penghakiman di Mahkamah Sesyen pada 28 November 2011, di sini, M Bakri mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Ahmad Ramzi selepas didapati bersalah terhadap empat pertuduhan memfitnah dan menghantar SMS ugutan kepada tiga wakil rakyat berkenaan empat tahun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan.
Ahmad Ramzi dijatuhi hukuman penjara masing-masing tiga bulan untuk kesalahan mengugut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka Mohd Ariffin Abdullah, ADUN Permaisuri Abd Halim Jusoh dan ADUN Ajil Datuk Rosol Wahid di Kampung Kubang Parit, di sini, antara jam 11.21 malam hingga 11.25 malam pada 13 April 2009.
Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi didapati bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 507 dan 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, dia turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana memfitnah bekas SUSK Menteri Besar Terengganu Datuk Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS ugutan berkenaan melalui nombor telefon bimbit milik Wan Ahamad.
Mahkamah ketika itu memerintahkan semua hukuman berjalan secara berasingan.
Bagaimanapun, M Bakri membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan membenarkan Ahmad Ramzi diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin.
Sebelum ini, akhbar pada 29 November 2011 melaporkan Ahmad Ramzi dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas didapati bersalah terhadap empat pertuduhan menghantar SMS ugutan kepada tiga wakil rakyat BN dan SMS fitnah terhadap bekas SUSK Menteri Besar Terengganu sekarang.-hm

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib