Monday, 16 December 2013

Bapa belasah anak tunggang motor tanpa lesen

Ibu bapa cuba mendapatkan penjelasan dari anaknya.
“Macam mana engkau boleh ada kat sini? Aku dah kata jangan keluar, duduk rumah!" kata seorang bapa sebelum mencepuk kepala anak lelakinya yang ditahan polis dalam sekatan jalan raya kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

Remaja lelaki berusia 17 tahun itu dipukul dengan tangan apabila membangkitkan kemarahan bapanya yang berusia sekitar 40-an, selepas mengetahui dia tidak ke rumah ibu saudaranya di kawasan berhampiran rumah mereka di Kampung Lapan, Tengkera.

Sebaliknya, remaja terbabit melencong ke kawasan berhampiran tapak Eye On Malaysia.

Malah, ibunya yang berusia penghujung 30an berkata, anaknya keluar rumah kira-kira 11 malam menggunakan motosikal jenis Honda EX5 milik bapanya ke rumah adik ipar di kawasan sama tempat tinggal mereka dan memintanya pulang sebelum 12 tengah malam.

“Motosikal ini baru dibeli ayahnya seminggu lalu dan sejak itu, dia meminta izin ayahnya untuk menggunakannya, tapi  dilarang kerana dia tidak ada lesen memandu.

"Tapi tadi (malam kelmarin) dia bagitahu nak keluar sekejap pergi ke rumah makciknya. Sampai 12 (tengah) malam dia tidak pulang. Bila saya telefon, dia kata dah kena tahan polis," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, malam kelmarin.

Menurut suri rumah itu, dia datang bersama suami yang membawa geran motosikal terbabit serta  terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira lebih 200 meter untuk mencari lokasi anaknya ditahan kira-kira 2.15 pagi.

Sementara itu, menurut sumber, remaja berkenaan antara lapan penunggang motosikal yang ditahan kerana memandu tanpa lesen dalam Ops Samseng Jalanan dan Rempit, berhampiran persimpangan Jalan Shahbandar bermula jam 10 malam, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisoner Salehhudin Abd Rahman berkata, operasi dijalankan 25 anggota polis termasuk seorang pegawai dari Bahagian Trafik  Melaka Tengah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

“Operasi bermula 10 malam semalam (kelmarin) dan berakhir 4.45 pagi tadi (semalam) membabitkan sepasukan polis termasuk sembilan anggota trafik, 10 anggota Sukarelawan Polis Di Raja Malaysia (SPDRM) dan empat anggota dari unit peronda (MPV).

“Sebanyak 57 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, antaranya tiada nombor pendafataran, memandu tanpa lesen, cukai tamat tempoh dan tiada cermin sisi selepas pemeriksaan dibuat terhadap 98 buah motosikal  dan 75 kereta,” katanya.

Menurut Salehhudin, meskipun tiada tangkapan, sembilan motosikal turut disita dalam operasi terbabit.-sh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib