Sunday, 22 December 2013

200 terkandas kempunan tunai umrah, pesawat tidak muncul

Bakal jemaah umrah terkandas di Bayan Lepas.
Hasrat lebih 200 jemaah mengerjakan umrah menerusi pakej ditawarkan agensi swasta tidak kesampaian apabila terkandas di Bayan Lepas di sini, sejak beberapa hari lalu berikutan tiada penerbangan walaupun setiap seorang sudah membayar lebih RM6,100.
Lebih malang, beberapa keluarga termasuk warga emas dan kanak-kanak terpaksa tidur di tepi jalan, luar hotel, homestay dan rumah sanak-saudara selepas pesawat dari Jeddah yang dijadual membawa jemaah tidak muncul.

Ghazali Kasar, 53, yang mewakili 18 ahli keluarganya berkata, wakil agensi yang menguruskan umrah mereka mendakwa berlaku masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, sepatutnya semua jemaah terbabit dijadualkan berlepas 5 Disember lalu melalui penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Jeddah tetapi ditangguhkan sebelum dimaklumkan akan bertolak pada 17 Disember.

Katanya, penangguhan itu dibuat agensi berkenaan yang beroperasi di Alor Setar dan membabitkan jemaah dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Terengganu yang keseluruhan 800 orang.


“Kami hairan dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila ia ditangguh buat kali ketiga dan keempat pada Khamis dan hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di Bayan Baru di sini, semalam.


Ghazali berkata, sikap berdolak-dalik agensi terbabit menyebabkan mereka hilang kepercayaan dan mendesak mereka bertanggungjawab terhadap segala kesusahan dialami jemaah hingga terpaksa menyewa hotel.

Menurutnya, disebabkan masalah itu ada jemaah membatalkan hasrat untuk menunaikan umrah dan pulang ke rumah masing-masing.

 
“Saya difahamkan lebih 200 penumpang dari Alor Setar juga terkandas dan selepas ini semua mangsa yang terbabit akan mengambil tindakan terhadap agensi berkenaan selain menuntut ganti rugi. Kami menanggung kerugian apabila diperdaya agensi itu yang sebelum ini mempunyai rekod baik dalam perkhidmatan haji dan umrah,” katanya.

Sementara itu, usaha Metro Ahad mendapatkan maklum balas daripada agensi terbabit gagal kerana pengurusnya tiada di pejabat.-hm

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib