Wednesday, 6 November 2013

Remaja larikan dua kereta, terlibat kemalangan bayi koma

Kereta Grand Livina milik anggota polis yang dilarikan terlibat kemalangan.
Seorang remaja berusia 17 tahun dipercayai menghidap masalah mental bertindak nekad melarikan dua kenderaan dalam dua kejadian berturutan bermula di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ajil di Hulu Terengganu sebelum berjaya diberkas di Batu Rakit, Kuala Terengganu malam tadi.

Kedua-dua kenderaan tersebut dilarikan sejauh kira-kira 150 kilometer bersama penumpang di dalamnya.

Dalam insiden yang mencemaskan itu, suspek yang berasal dari Kelantan dipercayai cuba mencuri sebuah kereta jenis Proton Persona dengan cuba merampas kunci pemilik kenderaan itu di R&R Ajil, Lebuh Raya Pantai Timur namun gagal.

Suspek diberkas dan dipercayai kurang siuman.
Kereta Myvi iaitu kereta kedua yang dilarikan.

Dia kemudiannya nekad masuk ke kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina di kawasan sama sebelum melarikan kenderaan itu.

Ketika kejadian, pemandu MPV itu dan isterinya yang merupakan anggota polis berhenti untuk ke tandas tetapi tidak mematikan enjin keretanya.

Tiga lagi ahli keluarga anggota polis wanita itu termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan berada di dalam kereta tersebut.

Dalam keadaan tertawa dan menjerit-jerit, remaja tersebut memandu laju sehingga dipercayai mencecah 160 kilometer sejam sejauh hampir 30 kilometer dari Ajil menghala ke Kuantan.
Akibatnya, kereta tersebut merempuh sebuah kereta Proton Waja dan melanggar sebuah lori muatan tanah dari arah sama di Kilometer 88, Jalan Jerangau-Jabor dekat Ladang Gajah Mati dekat sini.

Bayi tujuh bulan dalam keadaan koma.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, akibat rempuhan itu bapa bayi berkenaan, Abdul Pirhat Karim, 34, cedera di bahu, isterinya pula cedera di muka dan retak tulang rusuk manakala bayi mereka, Muhammad Asyraf Ikhwan tercampak keluar dari kenderaan dan terjatuh di atas jalan raya.

"Suspek yang tidak mengalami kecederaan kemudian keluar dari kenderaan itu dan menahan pula sebuah kereta Perodua Myvi dari arah bertentangan yang dinaiki enam sekeluarga dengan berpura-pura meminta bantuan kononnya bayinya terlibat dalam kemalangan.
"Namun apabila pemandu Myvi itu dan bapanya keluar untuk memberi bantuan, suspek kemudian melarikan pula kereta mereka.

"Ketika itu terdapat empat orang penumpang di tempat duduk belakang termasuk dua kanak-kanak," katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zaharah (HSNZ) hari ini.


Kereta remuk selepas terlibat pelanggaran.
Suspek kemudian memandu kereta Myvi menghala ke Batu Rakit, Kuala Terengganu sejauh kira-kira 120 kilometer sebelum berjaya ditahan polis pukul 7.30 malam tadi.
Menurut Jamshah, suspek berjaya ditahan bersama empat penumpang di dalam kereta Perodua Myvi tersebut dalam satu sekatan jalan raya di Batu Rakit.

"Siasatan awal mendapati remaja itu tidak stabil dan kita percaya dia mungkin mengalami masalah mental dan kita akan buat pemeriksaan kesihatan ke atasnya untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Cuma setakat ini, siasatan awal kita dapati suspek ini bertindak demikian bukan bermotifkan untuk menculik, mencederakan mangsa atau merompak namun dia hanya mahu menggunakan kenderaan yang dicuri," jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana melarikan kenderaan dan Seksyen 362 kanun yang sama kerana melarikan orang secara tidak sah.-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib