Wednesday, 13 November 2013

Polis edar gambar suspek kes tembak pegawai JAIP

Gambar suspek tembak pegawai JAIP.
Polis Pahang hari ini mengedarkan fotofit suspek seorang lelaki dalam kes pembunuhan Ketua Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Allahyarham Ahmad Raffli Ab Malik, 49, di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifudin Ab Ghani berkata, lelaki berkenaan merupakan suspek pertama yang masuk ke pekarangan rumah mangsa sebelum memberi salam.

"Suspek dipercayai berpakaian hitam dan berkopiah putih, berusia lingkungan 50-an, berkulit sawo matang, rambut dan misai beruban, berjanggut nipis, berbadan sasa, berkening halus, hidung sederhana dan berbibir nipis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, fotofit yang dihasilkan itu diyakini 70 peratus tepat berdasarkan hasil siasatan dan maklumat awal yang diperoleh berhubung tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

Mangsa ditembak dirumah.
Sharifudin berkata, suspek kedua adalah seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dipercayai yang melepaskan tembakan ke arah mangsa manakala suspek ketiga pemandu kereta Proton Wira Aeroback putih belum dikenal pasti.

Beliau berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan kesemua suspek merupakan pengikut kumpulan ajaran sesat,'Tuhan Harun'.

"Polis juga masih menyiasat butiran kereta yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan beberapa kenderaan lain yang didakwa berlegar-legar di kawasan kediaman mangsa sebelum kejadian," katanya.

Katanya, keputusan bedah siasat mendapati mangsa mengalami tiga luka tembakan, iaitu di dada kanan, rusuk kanan dan perut mangsa yang menembusi belakang badan.

"Polis turut menemui tiga kelongsong peluru dan tiga anak peluru jenis WCC7.80 caliber 9mm di tempat kejadian," katanya.

Dalam kejadian Ahad lepas, Ahmad Raffli mati selepas ditembak seorang suspek yang menaiki kereta Proton Wira Aeroback putih di rumahnya, di Indera Mahkota 2, dekat sini. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib