Sunday, 10 November 2013

Kanak-kanak Freddie diculik ditemui di Tasik Titiwangsa


Hamid Md Isa orang yang menemui Freddie di Titiwangsa.
Freddie Joseph, kanak-kanak berusia setahun lapan bulan yang diculik dari rumah ibunya di Bangsar di sini semalam, dijumpai beberapa orang awam di Taman Tasik Titiwangsa di sini, tengah hari tadi.
  
Ketika ditemui kira-kira 12.20 tengah hari, dia dalam keadaan keletihan dan kelaparan.
  
Kanak-kanak itu yang memakai baju berwarna hijau dan seluar putih telah diselamatkan oleh seorang pemandu lori dan seorang pemandu teksi yang kebetulan melalui laluan di Taman Tasik Titiwangsa.
  
Sarah Joseph membawa pulang Freddie.


Pemandu lori Hamid Md Isa, 57, yang juga pesara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata, beliau melihat kanak-kanak itu berjalan berseorangan dan kelihatan keletihan.
  
Beliau kemudian segera mendapatkan kanak-kanak itu dan memimpinnya ke tepi padang untuk berehat.

Pemandu teksi Haris Mohd Nor, 48, pula segera membeli keropok dan minuman untuk kanak-kanak itu apabila melihatnya keletihan.
  
"Pagi tadi saya membaca akhbar dan ada berita mengenai kanak-kanak diculik...tapi tak sangka budak inilah yang diculik itu. Semasa saya mendekatinya, dia diam dan tidak berapa takut tetapi memang nampak dia lesu sangat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.
Kejadian jumaat lalu di Bangsar tempat Freddie diculik.

Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Abdul Wahab yang kebetulan berada di lokasi sama, telah memaklumkan kepada Meja Berita Am agensi itu mengenai penemuan anak lelaki guru bahasa warga Britain itu.
  
Menurutnya ketika itu beliau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersenam di taman itu.

"Dan saya lihat sekumpulan orang awam berkumpul bersama seorang kanak-kanak. Saya dapat merasakan yang dia adalah budak yang diculik semalam berdasarkan wajahnya yang bukan seperti kanak-kanak tempatan.
 
"Selepas itu saya terus menelefon wartawan Bernama dan menghantar gambarnya yang saya ambil menerusi telefon untuk memastikan sama ada dia budak yang diculik itu," katanya.
  
Wartawan Bernama kemudian menghantar gambar itu kepada rakan ibu kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Robert dan beliau mengesahkannya.
  
Polis yang tiba di Taman Tasik Titiwangsa kemudian membawa Freddie ke Balai Polis Jalan Tun Razak di sini.
  
Bernama difahamkan ibu kanak-kanak itu Sarah Joseph dalam perjalanan ke balai polis berkenaan.
  
Dalam kejadian 6.10 petang semalam, kanak-kanak itu dilarikan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai warga asing menggunakan kereta Toyota Camry berwarna putih.
  
Pada masa kejadian, Sarah, 38, masuk sebentar ke dalam rumah selepas memberi anaknya makan di halaman rumah, sebelum beliau terdengar bunyi bising di luar rumahnya.
  
Ketika itu, beliau nampak seorang lelaki cuba melarikan Freddie lalu menerpa ke arahnya untuk menyelamatkan anaknya sambil menjerit meminta pertolongan sehingga berlaku pergelutan.
  
Akibat pergelutan itu, Sarah cedera di pergelangan tangan kanannya.

Sementara itu, Sarah tiba di Balai Polis Jalan Tun Razak kira-kira 1.30 tengah hari dengan ditemani beberapa rakannya.
Memakai baju berwarna coklat dan berseluar kelabu, beliau kelihatan amat gembira apabila dipertemukan dengan anak lelakinya itu selepas 18 jam terpisah.

Sambil memeluk erat anakya, beliau dibawa masuk ke dalam balai untuk diambil keterangan.

Polis mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengambil keterangan daripada mangsa.

Di luar balai, wakil-wakil media yang menunggu Sarah gagal menemu bualnya kerana beliau belum bersedia berbuat demikian. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib